sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang FC, Jeffrey Chew yakin skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail sudah bersedia dan berada di tahap positif untuk menghadapi saingan Liga Super musim 2025/2026.
Jelas Jeffrey, pasukan Harimau Kumbang sudah melalui beberapa perlawanan persahabatan dan pasti Wan Rohaimi mempunyai perancangan serta pilihan sendiri untuk menurunkan pemain terbaik dalam perlawanan pertama menentang Terengganu FC (TFC) pada 10 Ogos ini.
“Untuk persediaan pasukan, kita mestilah menghadapi bersama-sama tapi untuk prestasi, ia bergantung kepada perlawanan pertama nanti.
“Cuma dari perlawanan persahabatan sebelum ini, kita nampak ada keserasian dalam kalangan pemain yang diturunkan dalam setiap perlawanan itu.
“Saya fikir (dari segi taktikal), ia bergantung kepada setiap perlawanan akan dihadapi selepas ini kerana kita tidak boleh hanya lihat (keputusan) semasa pramusim sahaja.
“Perlawanan persahabatan adalah pentas untuk jurulatih membuat pertukaran (pemain) dan ada hala tuju ingin dicapai dalam aksi itu serta mencuba formasi baharu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, ketika ditanya mengenai sasaran skuad Harimau Kumbang pada musim ini, beliau yakin mereka mampu berada dalam kelompok tujuh pasukan terbaik.
Musim ini, Penang FC membuat rombakan besar-besaran dan membawa masuk beberapa pemain berpengalaman seperti Wan Zack Haikal, Amirul Hisyam, Bruno Suzuki, Tchetche Kipre, Stefano Brundo serta penjaga gol berpengalaman, Khairul Azhan Khalid.
Musim lalu, Penang FC menamatkan saingan liga di kedudukan ke-10 daripada 14 pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




