Penangan kekasih maya, pengurus analisis kilang rugi RM300,000

Penangan kekasih maya, pengurus analisis kilang rugi RM300,000

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pengurus analisis sebuah kilang di Bayan Lepas di sini mendakwa kerugian sebanyak RM300,000 selepas ditipu ‘love scam’.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, maklumat diterima pihaknya daripada wanita warga tempatan berusia 45 tahun selepas laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, semalam.

Menurut Mohd Alwi, wanita terbabit mendakwa berkenalan dengan lelaki yang mengaku sebagai warganegara Amerika Syarikat bernama Richard Ming Li menerusi aplikasi Facebook, pada November tahun lalu.

Suspek menyatakan mahu menjalin hubungan lebih serius dengan mangsa dan mula berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

“Lelaki berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai seorang ahli perniagaan dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) yang menjalankan perniagaan di sebuah negara utara tanah air.

“Selepas sebulan berkenalan, suspek memaklumkan kepada mangsa bahawa akaun bank miliknya disekat di negara itu dan memohon bantuan wanita itu bagi membuat pembayaran urusan penghantaran stok penting dalam perniagaannya.

“Suspek berjanji akan bayar kembali wang dan beri bayaran tambahan sebagai tanda penghargaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohd Alwi, berikutan terjerat dengan hubungan cinta maya dan mempercayai suspek, mangsa kemudian membuat sebanyak 16 transaksi ke lima akaun bank tempatan pada 12 Disember hingga 14 Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa menyedari diperdaya apabila suspek meminta lagi wang bagi membiayai perbelanjaannya datang ke Malaysia untuk bertemu dengan mangsa.

“Namun suspek tersilap langkah apabila menghantar pasport yang dilihat seperti diubah suai sebelum mangsa menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Alwi berkata orang ramai diingat supaya lebih berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan jenayah ‘scammer’ yang sering mengena mangsa.

“Sentiasa berwaspada terhadap janji manis dan panggilan mesra yang bertujuan bagi memenangi hati selain guna fungsi carian imej di Google bagi menyemak gambar sekiranya palsu daripada internet,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top