Penangguhan Sukan SEA beri lebih ruang buat persediaan

JAGUH pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi melihat ada hikmah di sebalik penundaan Sukan SEA Vietnam 2021 apabila ia memberi lebih ruang kepadanya membuat persediaan bagi mencapai tahap prestasi terbaik.

Muhammad Haiqal, 22, berkata, tempoh tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki kelemahan dalam larian.

Menetapkan misi peribadi mengekalkan gelaran raja pecut Asia Tenggara, beliau berharap dapat turun beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia hujung bulan depan untuk cuba merekodkan kepantasan antara 10.40 saat (s) dan 10.50s, sekali gus melepasi syarat kelayakan masa ke Sukan SEA.

“Bagi saya tiada masalah (penangguhan), sebab tahun ini saya pun tidak banyak sertai kejohanan.

“Jika Sukan SEA diteruskan mengikut jadual asal mungkin saya tidak bersedia sepenuhnya untuk bertanding dalam acara 100m pecut.

“Andai kata Kejohanan Terbuka Malaysia dapat dilangsungkan hujung Ogos ini sudah pasti saya akan berikan aksi yang terbaik untuk melayakkan diri,” katanya.

Khamis lepas, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memutuskan Sukan SEA ke-31 yang dijadual berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember depan di Hanoi ditunda ke tahun hadapan berikutan pandemik Covid-19.

Muhammad Haiqal sebelum ini meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara 100m pecut pada Sukan SEA 2019 di Filipina apabila merangkul pingat emas dengan catatan 10.35s yang merupakan catatan peribadi terbaiknya sehingga kini.

Bagaimanapun, kekurangan kejohanan kesan pandemik merencatkan persediaan beliau, selain kegagalannya menyertai Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, bulan lalu, akibat disahkan positif Covid-19.

April lepas, Muhammad Haiqal juga terpaksa melupakan hasrat beraksi pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, susulan kecederaan buku lali.

“Bagi saya, sebagai atlet apabila sudah berlatih bersungguh-sungguh kita mahu lihat perkembangan prestasi kita malangnya kejohanan pula banyak tangguh, kadang-kadang rasa tertekan juga.

“Walau bagaimanapun, kita perlu teruskan strategi dan ikut program,” katanya yang kini bebas daripada kecederaan.