'Penangguhan Undi 18 langgar Perlembagaan'

'Penangguhan Undi 18 langgar Perlembagaan'

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penangguhan pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran pemilih automatik kepada 1 September tahun depan, didakwa melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dua tahun lalu.

Pendirian itu disuarakan tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presidan Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan pindaan Perlembagaan pada Julai 2019 bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.

Ketiga-tiganya berpandangan, penangguhan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu secara terang-terangan membelakangkan suara rakyat Malaysia dan menafikan hak anak muda untuk memilih masa depan mereka.

Sehubungan itu, mereka menuntut SPR bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penangguhan itu yang disifatkan sebagai kegagalan besar kerana melanggar Perlembagaan.

“Kegagalan ini mencerminkan satu kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan betapa lemahnya dedikasi SPR terhadap semangat demokrasi itu sendiri.

“PH berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak patut diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya.

“Sekiranya PRU-15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ia akan menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada generasi yang akan datang,” kata kenyataan itu.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, memaklumkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Katanya, penangguhan itu berikutan beberapa kekangan dihadapi SPR dalam melaksanakan perancangan dan persiapan awal untuk melaksanakan kedua-dua perkara itu, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Anwar, Mohamad dan Guan Eng menegaskan, penggantungan Parlimen ketika ini susulan pengisytiharan darurat tidak harus disalahgunakan untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya.

PH berpendirian, Undi 18 mesti dilaksana seperti yang dijadual dan diumum di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini, iaitu Julai tahun ini.

“Sekiranya jaminan dan janji Takiyuddin tidak ditunaikan, beliau harus letak jawatan dengan segera,” katanya.

Pada 3 November lalu, Takiyuddin menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd