Penantian 25 tahun lelaki OKU miliki MyKad tercapai

KUALA NERUS: Penantian 25 tahun seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) untuk memiliki MyKad berakhir hari ini apabila dia menerima dokumen pengenalan diri itu menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lebih istimewa, kad pengenalan Hazbillah Rasid, 37, diserahkan Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh kepada ibunya, Siti Meriam Ngah, 64, di kediaman mereka di Kampung Kubang Tepak Manir, di sini.

Siti Meriam berkata, Hazbillah yang lumpuh seluruh badan selepas diserang sawan akibat demam panas ketika berusia tiga bulan, hanya mempunyai Sijil Beranak kerana dulu keluarganya tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anaknya mendaftar kad pengenalan di JPN.

“Saya tidak mahu susahkan orang untuk menumpang kereta pergi ke JPN, tetapi kira-kira dua tahun lalu apabila tahu ada program Mekar, adik-beradiknya yang lain terus membuat permohonan dan masalah Hazbillah akhirnya selesai hari ini,” katanya.

Ibu enam anak itu berkata, dia bersyukur kerana walaupun tidak mempunyai kad pengenalan, anak kelimanya itu tetap layak menerima pelbagai bantuan kerajaan kerana pemimpin setempat banyak membantu memudahkan urusan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ruslin berkata, program Mekar JPN adalah program turun padang berkaitan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan Sijil Kelahiran kepada golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar serta mereka yang tinggal di pedalaman.

“Ia pendekatan produktif JPN bagi memastikan setiap penduduk Malaysia yang layak, mempunyai dokumen pengenalan diri sah, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan ditawarkan kerajaan,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd