am@hmetro.com.my
Gua Musang: Penantian lebih lima tahun remaja orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan kad pengenalan berakhir apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menghantar sendiri dokumen pengenalan diri itu di rumahnya di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini, semalam.
Muhammad Arif Farhan Mohd Zulkifly, 17, berdepan kesukaran untuk memperoleh MyKad kerana kerap diserang sawan akibat demam panas sejak berusia tujuh tahun.
Ia menyebabkan ibunya, Nor Hayati Mat Nor, 43, tidak dapat membawa remaja itu ke pejabat JPN daerah untuk membuat kad pengenalan.
“Pernah beberapa kali kami cuba membawa Muhammad Arif Farhan untuk membuat kad pengenalan, namun terkena sawan ketika dalam perjalanan, jadi kami terpaksa patah balik.
“Alhamdulillah… dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri kami berjaya melengkapkan dokumen yang diperlukan pada Ramadan lalu kami,” katanya.
Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan Adun Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan JPN daerah Gua Musang bagi penyerahan Mykad Muhammad Arif Farhan.
Nor Hayati berkata, pemberian MyKad itu sekali gus memudahkan urusan untuk memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membuka akaun bank anak.
Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan pihak JPN daerah Gua Musang bagi penyerahan Mykad Muhammad Arif Farhan di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini.
Sementara itu, Mohd Azmawi berkata, kesukaran keluarga berkenaan untuk mendapatkan MyKad dikesan hasil lawatannya ke rumah keluarga berkenaan Ramadan lalu.
Katanya, keluarga berkenaan berjaya melengkapkan dokumen dan menyerahkan kepada pihak JPN.
“Muhammad Arif Farhan tercicir pendaftaran MyKad kerana dia sukar untuk diuruskan apabila sering diserang sawan.
“Saya mendapat makluman banyak lagi kes tercicir pendaftaran MyKad di DUN Nenggiri, insya-Allah kita akan santuni dan selesaikan dengan kerjasama pihak JPN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




