Penarikan diri paling menyakitkan – Dimitrov

Penarikan diri paling menyakitkan – Dimitrov

London: Pemain tenis Bulgaria, Grigor Dimitrov mengakui pengunduran mengejut di pusingan keempat Wimbledon minggu ini antara detik paling menyakitkan dalam kariernya selepas mengalami kecederaan otot dada ketika sedang mendahului pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner.

Dimitrov, pilihan ke-19 kejohanan, terpaksa menarik diri ketika berada di hadapan 6-3, 7-5, 2-2 dalam perlawanan menentang bintang Itali itu, Selasa lalu.

Dalam satu hantaran di Instagram, Dimitrov berkongsi gambar dirinya di katil hospital sambil meluahkan rasa kecewa dengan nasib menimpanya.

“Kadang-kadang hati mahu teruskan… tetapi alam semesta ada perancangan lain buat kita,” tulisnya.

“Terpaksa tarik diri di Wimbledon adalah antara detik-detik paling menyakitkan dalam karier saya.

“Terima kasih atas sokongan luar biasa, daripada keluarga, rakan, peminat, rakan seperjuangan hingga seluruh komuniti tenis. Ucapan dan mesej anda semua benar-benar mengangkat semangat saya ketika saat sukar ini. Pemulihan bermula sekarang. Jumpa anda semua tidak lama lagi. – G.”

Dimitrov, 34, pernah merangkul sembilan kejuaraan perseorangan ATP, namun masih belum bergelar juara Grand Slam.

Dia pernah mara ke separuh akhir di Wimbledon (2014), Terbuka Australia (2017), dan Terbuka Amerika Syarikat (2019) serta suku akhir Terbuka Perancis (2024).

Bagaimanapun, bekas juara ATP Finals 2017 itu berdepan rentetan nasib malang apabila terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam empat kejohanan Grand Slam terakhir, termasuk di Terbuka Australia Januari lalu (groin) dan Roland Garros Mei lalu (kecederaan kaki).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top