Penat jadi guru, wanita pilih jadi penjual keranda

Penat jadi guru, wanita pilih jadi penjual keranda

Beijing: Seorang bekas guru wanita di Heze, China, sanggup berhenti kerja dan menukar kerjaya dengan menceburi bidang jualan keranda bagi pasaran Eropah, khususnya Itali.

South China Morning Post (SCMP) yang memetik majalah Personage melaporkan, Lisa Liu, 29, yang letih dan mengalami tekanan kerja memilih menjadi jurujual keranda pada Julai 2023, selepas melawat kilang dan melihat keseluruhan proses pengeluaran kotak kayu itu.

Pengalaman itu juga membantu Liu mengatasi kepercayaannya bahawa keranda membawa nasib malang.

Berbeza dengan keranda China yang berat dan berwarna gelap, keranda Itali lebih ringan dan sering dihiasi ukiran agama, malah di China proses pembakaran mayat hanya membabitkan tubuh, manakala di Itali pula tubuh dan keranda dibakar bersama.

Menurut saluran media tanah besar China, Jimu News, keranda dibuat di Heze, berharga antara AS$90 (kira-kira RM351) dan AS$150 (kira-kira RM585).

Ia lebih berpatutan berbanding keranda Eropah, yang harganya antara AS$1,100 (kira-kira RM4,290) hingga AS$2,100 (kira-kira RM8,190).

Kilang tempat Liu bekerja dilaporkan mengeksport sekitar 40,000 keranda ke Eropah setiap tahun, menjana pendapatan tahunan hampir 40 juta yuan (kira-kira RM22.58 juta).

Walaupun menghadapi cabaran seperti perubahan polisi Kesatuan Eropah dan kos penghantaran meningkat, Liu kekal optimis terhadap masa depan industri keranda Heze.

“Orang mati setiap hari dan setiap orang akhirnya memerlukan keranda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top