puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas melalui pelbagai ujian dalam rumah tangga, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 32, mendedahkan dia tidak pernah merancang untuk mencari pengganti, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya serta membahagiakan ibu bapa dan anak-anak.
Bella berkongsi perkara itu menerusi ‘podcast’ bersama Ustazah Oki Setiana Dewi di YouTube, baru-baru ini.
Bella yang bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, pada bulan depan, berkata ketika berada dalam fasa sedih, dia memilih untuk menumpukan perhatian pada ibadah umrah tanpa sedikit pun berfikir soal jodoh.
“Saya tak sangka sebab macam Bella cakap, memang Bella tidak mencari, tidak merancang. Fokus Bella itu perkara yang lain, sebab itu Bella cakap bila kita fokus benda yang baik-baik, insya-Allah Allah hadirkan yang baik-baik.
“Fokus Bella mencari duit, Bella mahu bahagiakan mama dengan ayah, bawa anak keluar pergi jalan. Masa dalam keadaan sedih itu, Bella pergi umrah, banyak yang Bella lakukan dalam hal-hal macam itu tanpa Bella memikirkan hadirkan jodoh. Tak ada, tak pernah.
“Dan Bella pun sebenarnya secara jujurnya, Bella lebih kepada ‘Ya Allah berikanlah aku kebahagiaan’ selepas ini. Sebab dah penat merasa sedih, dah penat merasa sakit,” katanya.
Berkongsi mengenai bagaimana tunangnya boleh hadir ke dalam kehidupannya, Bella atau nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, keikhlasan Syed Saddiq menerima serta melayan anak-anaknya dengan baik menjadi faktor utama.
Katanya, penerimaan anak-anak yang begitu selesa bersama bakal suaminya amat menyentuh hatinya, selain melihat keperibadian lelaki berkenaan yang sangat menghormati serta menyayangi kedua ibu bapanya sendiri.
“Bella melihat seorang sosok yang menerima anak-anak dengan baik, itu yang paling penting. Penerimaan anak-anak pun sangat selesa.
“Dalam masa yang singkat ini, tidak pernah terlintas akan mendapat jodoh seperti dia yang sangat baik dengan anak-anak. Bukan sahaja dengan anak-anak, malah dia sangat menghormati mama dengan ayah, selain menyayangi kedua orang tuanya sendiri.
“Bila lihat cara dia menjaga orang tuanya, saya sedar Allah Maha Baik. Allah berikan lebih daripada apa yang kita doa tanpa kita duga,” katanya lagi.
Mengulas mengenai fasa baharu kehidupan berumah tangga, Bella tidak menafikan dia kadang kala dibayangi rasa takut dan trauma lampau, namun menganggap luka lama tidak wajar dilemparkan kepada pasangan baharu.
Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata ini bersyukur kerana dikurniakan peluang kedua oleh Allah untuk merasai kebahagiaan bersama seorang lelaki yang sangat memahami dan mengutamakan anak-anaknya.
“Kadang-kadang kita sebagai orang yang pernah menikah, kita akan ada trauma sendiri, tapi sebenarnya kita jangan pernah lampiaskan (lepaskan) kita punya perasaan trauma itu dengan pasangan yang baru sebab tidak adil untuk mereka.
“Apa sahaja luka lama yang ada, itu adalah tanggungjawab kita sebenarnya tanpa perlu melibatkan orang lain. Jadi untuk Bella, ini adalah peluang kedua yang Allah berikan untuk merasakan kebahagiaan yang cukup,” katanya.
Dalam pada itu, Bella turut berharap dia dapat menangani segala ujian dalam berumah tangga pada masa akan datang.
“Kadang-kadang Bella takut ‘janganlah kau tarik kebahagiaan ini’ sebab Bella sangat bersyukur dapat pasangan yang baik hati dan sangat memahami, sangat mengutamakan anak Bella.
“Semoga harapan untuk di masa akan datang, semoga apa sahaja ujian Bella dapat tangani sebab tak ada rumah tangga yang tiada ujian.
“Bella percaya benda itu dan Bella bersyukur mungkin apa sahaja ujian di masa akan datang bella dapat pasangan yang dapat menangani sama-sama,” katanya.
Pasangan Syed Saddiq dan Bella bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober depan pada majlis pernikahan di aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, berkonsep serba putih disulami elemen Arab atau Islamik.
Mereka mula berkenalan dengan rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




