Pencari emas maut, terowong runtuh

Bau: Seorang pencari emas maut selepas terowong digalinya di dalam gua di Gunung Tabai, di sini, runtuh, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tawang Lingem berkata, mayat mangsa, Mat Tapa, 25, ditemui tertimbus di bawah runtuhan batu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, dua lagi rakan mangsa yang pada mulanya disyaki terperangkap, disahkan berjaya keluar dari gua berkenaan pagi tadi.

“Dua anggota bomba yang berjaya memasuki terowong sempit di dalam gua itu berjaya menemui mayat mangsa kira-kira jam 4.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tawang berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.10 pagi tadi menghantar 10 anggota bagi melaksanakan gerakan SAR.

Difahamkan, tiga lelaki itu pergi ke Gunung Tabai sejak semalam untuk melombong emas di dalam gua di kaki gunung.

Mereka dikatakan menggali terowong dianggarkan sedalam 80 meter dan struktur terowong itu tidak stabil menyebabkan kerja menyelamat sukar.

Gua itu adalah kawasan larangan selepas beberapa insiden kemalangan membabitkan pemburu emas berlaku sebelum ini.

Pada 2011, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut manakala seorang lagi lelaki yang berusia 37 tahun parah selepas dihempap batu akibat terowong sempit runtuh.

Pada 2012, seorang lagi pemburu emas maut di gua berkenaan akibat runtuhan terowong dan keluarganya merelakan jasad lelaki berusia 30-an disemadikan di bawah runtuhan berikutan kesukaran mengeluarkannya kerana faktor keselamatan pasukan penyelamat.