am@hmetro.com.my
Pekan: Lelaki dilaporkan hilang ketika mencari etok di Sungai Pahang dekat Kampung Bukit Kenau, di sini, sejak semalam, masih belum ditemukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, operasi mencari Mohd Zainuren Abd Rashid, 45, bermula jam 8 pagi tadi, tertumpu di kawasan lubuk sedalam lebih 10 meter lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Menurutnya, keluasan lubuk mencecah lebih tujuh meter persegi dan dipercayai terbentuk hasil aktiviti perlombongan pasir di Sungai Pahang.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah melakukan empat kali selam skuba untuk mencari mangsa di kawasan itu.
“Selain itu pencarian juga dilakukan di permukaan sungai di sekitar lokasi Mohd Zainuren dilaporkan hilang tetapi mangsa gagal ditemukan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian jam 6 petang semalam, mangsa serta empat ahli keluarga ke lokasi itu untuk mencari etok.
Ketika melakukan aktiviti mencari kerang sungai itu, lelaki terbabit dilaporkan tenggelam dan dibawa arus.
Wan Samsul Effendi berkata, lebih 40 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu penduduk kampung terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Operasi ditangguhkan jam 6.30 petang dan akan disambung semula pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




