Pencarian mangsa nahas bot di Kemaman diteruskan pagi ini

Pencarian mangsa nahas bot di Kemaman diteruskan pagi ini

am@hmetro.com.my

Chukai: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Kemaman, dekat sini, diteruskan pagi ini.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, sektor pencarian memasuki hari kedua itu akan diperluaskan membabitkan kawasan pencarian seluas 67 batu nautika.

Menurutnya, operasi pencari disertai oleh tiga aset dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta bot-bot nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman.

“Seramai 50 orang terdiri daripada pegawai dan anggota penyelamat serta orang awam terbabit dalam pencarian itu.

“Kawasan pencarian turut diperluaskan dan bertumpu di sekitar perairan Kemaman dan perairan Kijal,” katanya.

Ariffin berkata, keadaan cuaca dan ombak pagi ini sangat baik dan diharapkan dapat membantu operasi.

“Dua pesawat udara iaitu Bombardier CL415MP dari APMM dan helikopter AW139 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut membantu operasi pencarian.

“Kedua-dua pesawat ini akan memberi tumpuan kawasan pencarian meliputi sehingga 195 batu nautika persegi,” katanya.

Dalam kejadian semalam, sebuah bot nelayan yang dikendalikan dua tekong dan tujuh pemancing karam selepas dilanggar tongkang, kira-kira 6.30 pagi.

Mayat dua mangsa, Shahril Ismail, 50, dan Siti Zaminah Mohman Zobini, 29, ditemukan, sementara Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25, masih belum ditemukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top