JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan diarah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu pencemaran bau yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar daerah ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri berharap supaya insiden pencemaran itu dapat dibendung serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya amat berharap agar isu ini tidak berulang lagi. Saya mohon agar pengusaha perindustrian dan orang ramai dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan kualiti persekitaran kita,” katanya selepas meninjau lokasi pencemaran bau di sekitar daerah ini.
Onn Hafiz berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini telah turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan terperinci.
Katanya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sisa bahan kimia yang terkandung dalam sampel air yang tercemar untuk membendung isu pencemaran yang berlaku dari terus merebak.
“Saya dimaklumkan siasatan telah dilaksanakan oleh JAS dan JBPM Negeri Johor. Hasil siasatan mendapati bahan kimia yang dijumpai di kawasan sungai tersebut berpotensi membahayakan kesihatan awam. Selain itu, komponen beracun yang telah mencemari udara dan menyebabkan bau yang sangat kuat serta tidak menyenangkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan awam tentang bau kimia di sekitar Impian Emas sehingga ke kawasan Flat Melana, Perling.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak JAS. Jika ada kawasan berhampiran yang ada bau (bahan kimia), mohon maklumkan.
“Maklumat ini penting supaya pihak JAS dapat mengukur anggaran keluasan kawasan pencemaran bau dari mana sehingga mana dan cari puncanya,” tulisnya dalam laman sosial Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar meminta orang awam memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci terlebih dahulu. – UTUSAN




