Pencemaran udara: Pelancongan utara Thailand terjejas

Pencemaran udara: Pelancongan utara Thailand terjejas

Chiang Mai: Kerajaan Thailand pada Isnin menggesa penduduk di bandar Chiang Mai, utara Thailand, tidak berada di luar rumah susulan jerebu meningkat ke tahap berbahaya.

Laman web pemantauan udara IQAir meletakkan bandar itu sebagai bandar paling tercemar di dunia, mengatasi kawasan panas lain seperti Lahore dan New Delhi.

Chiang Mai yang terkenal dengan pemandangan pergunungan yang indah, kuil dan kafe bergaya, menerima 10.8 juta pengunjung pada prapandemik 2019, tetapi tempahan hotel di bandar itu menurun kepada 45 peratus, kata presiden Persatuan Hotel Thai Bahagian Utara Phunut Thanalaopanich kepada Reuters.

Itu jauh lebih rendah daripada 80 peratus hingga 90 peratus yang dijangkakan menjelang cuti Tahun Baharu Thai minggu ini, yang dikenali sebagai Songkran.

“Ia memberi kesan kepada perniagaan saya … orang tidak datang dan mereka tidak dapat melihat pemandangan di sini,” kata Sunat Insao, 53, yang menjual jus oren.

Kementerian Kesihatan Thailand menggesa orang ramai untuk mengelakkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka memandangkan kemerosotan kualiti udara di kawasan itu.

Chiang Mai, bandar ketiga terbesar di Thailand, mencapai 289 pada indeks kualiti udara (AQI) IQAir pada Mac, yang mengukur tahap zarah halus yang boleh disedut di udara.

Pada Isnin, ia berkurangan kepada 171, tetapi masih 19 kali ganda melebihi paras yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pelancong dari Mexico, Fernanda Gonzalez, 27, berkata, dia boleh merasai habuk di muka.

Kebakaran hutan dan pembakaran tanaman di Thailand dan negara jiran menyebabkan kawasan pelancongan popular itu berlaku pencemaran udara sejak beberapa minggu lalu.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha berkata, pihaknya sedang berkoordinasi dengan Laos dan Myanmar untuk mengurangkan titik panas di kawasan sempadan bagi mengekang jerebu rentas sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top