am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menyasarkan wanita berpangkat tinggi, ahli perniagaan, memiliki sumber kewangan kukuh dan berpendapatan tetap untuk dijadikan teman wanita.
Malah, lelaki berusia 39 tahun itu turut dipercayai menggunakan gelaran penceramah bebas untuk memancing golongan wanita bagi mendapatkan wang dan memuaskan nafsunya.
Menurut sumber, siasatan mendapati lelaki terbabit aktif melakukan perbuatan itu sejak beberapa tahun lalu dan mempunyai hampir 30 teman wanita.
“Rata-rata kekasihnya adalah wanita yang dikenali melalui program ceramah dan kuliah yang dijalankannya di seluruh negara.
“Mereka ini kebanyakannya mahu mendalami agama dan tertarik dengan lelaki itu kerana kata-kata manis serta perwatakan ‘alim’ ditunjukkannya yang dipercayai bertujuan memperdaya mereka,” katanya.
Lebih mengejutkan, sumber berkata, kebanyakan mangsa adalah mereka yang berimej baik dan ada antaranya penjawat awam.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan lelaki itu termasuk penyebaran video seks bersama isteri kepada kekasihnya.
Semalam, Metro Ahad melaporkan seorang penceramah bebas tergamak merakam aksi ranjang bersama isterinya menggunakan peralatan rakaman canggih umpama produksi profesional dalam pembikinan klip video lucah, sebelum berkongsi dengan hampir 30 kekasih gelapnya.
Bukan satu tapi puluhan klip videonya bersama empat isteri yang dirakam secara berasingan disebarkan kepada hampir kesemua kekasihnya dan perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak beberapa tahun lalu.
Video berkenaan kononnya untuk dijadikan rujukan aksi seks yang dimahukan mengikut seleranya dan perkara itu terbongkar selepas salah seorang isterinya membuat laporan polis, baru-baru ini.
Wanita terbabit didakwa mengetahui perbuatan jijik suaminya selepas menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada seorang wanita mengaku ahli keluarga kepada kekasih lelaki berkenaan.
Berikutan itu, si isteri tampil membuat laporan dan polis menahan reman lelaki terbabit selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd



