Seorang penceramah bebas berusia 39 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam penyebaran beberapa rakaman video seks membabitkan dirinya dan empat isterinya.
Memetik laporan Harian Metro, tangkapan dilakukan pada Selasa lalu, susulan laporan yang dibuat oleh isteri keduanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, laporan diterima pada 16 Jun daripada wanita yang juga isteri kedua suspek.
“Bertindak atas laporan, polis membuat tangkapan terhadap suami pengadu dan merampas dua telefon bimbit serta sebuah komputer riba milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati terdapat beberapa rakaman tidak senonoh melibatkan suspek dengan isteri-isterinya, termasuk imej yang dikatakan mengaibkan wanita lain.
“Hasil semakan dalam telefon bimbit milik suspek menjumpai beberapa video seks suspek dengan isteri-isteri dan gambar mengaibkan beberapa wanita lain,” katanya lagi.
Suspek kemudiannya telah direman selama empat hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Tambah Mohd Iqbal, suspek kini telah dibebaskan dengan jaminan sementara pihak polis sedang melengkapkan siasatan untuk tindakan seterusnya.
Sumber: Harian Metro