am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Polis giat mengesan lima lelaki termasuk warga Thailand dipercayai suspek kejadian tembakan di Ladang Kemahang 1, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api ke arah penduduk kampung yang berada di lokasi yang membuat rondaan berhubung kejadian kecurian lembu.
“Sekitar jam 2.30 pagi tadi, mereka (penduduk kampung) terserempak dengan sekumpulan lebih kurang lima lelaki yang dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan Thailand.
“Suspek kemudiannya dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api menyebabkan penduduk kampung lari menyelamatkan diri.
“Seorang mangsa, Mohd Khairi Amri Abdul Kadir, 43, terkena tembakan di bahagian dagu dan dikejarkan ke Hospital Tanah Merah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Haki berkata, dalam kejadian sama, sebuah motosikal milik mangsa jenis Honda EX5 turut dilaporkan dilarikan oleh salah seorang suspek yang dipercayai warga tempatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




