am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan 205 pendaftaran kenderaan dan 155 syarikat menerusi Sistem Kawalan Petrol dan Diesel Bersubsidi (SKPS) dalam tempoh sebulan pelancarannya.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, angka yang dicatatkan sehingga 14 Oktober itu dilihat masih rendah dan kemungkinan besar, pengguna keliru atau tidak faham berkenaan kelayakan inisiatif itu.
Katanya lagi, SKPS dikhaskan kepada sektor pengangkutan darat awam dan darat barangan yang berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau disahkan platform masing-masing namun ada yang tidak berdaftar dan menjalankan perkhidmatan secara persendirian.
“Secara keseluruhan, masih belum ramai yang mendaftar SKPS kerana mungkin ada yang tidak faham ataupun tidak berdaftar dengan SSM kerana buat (perkhidmatan) secara kecil-kecilan.
“Pengusaha bot pun termasuk tapi tak banyak juga yang memohon sebab kadang-kadang dijalankan secara persendirian, tak daftar SSM, tiada lesen dan jadi nelayan tempat sendiri.
“Walaupun mereka tidak memohon untuk manfaat SKPS, mereka ini masih lagi menerima inisiatif daripada BUDI MADANI RON95 (BUDI95),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Azman berkata, orang ramai yang berkelayakan boleh tampil ke kaunter cawangan KPDN untuk mendapatkan bantuan bagi pengisian permohonan SKPS.
Menurutnya lagi, permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian namun mungkin ada yang tidak faham berkenaan syarat atau dokumen apa yang perlu dikepilkan.
“Setakat ini kami buka kaunter untuk membantu semua syarikat membuat permohonan namun boleh juga dimohon secara ‘direct online’ cuma jika ada masalah tak faham, boleh datang untuk kami bantu di kaunter sepanjang waktu bekerja.
“Kami akan turun padang selepas ini, buat ‘road tour’ tempat awam bagi melancarkan pendaftaran SKPS, kita akan bantu dari segi kenapa tak boleh daftar, dokumen tak cukup dan lain-lain,” katanya.
Terdahulu beliau hadir membuat tinjauan penandaan harga warna merah jambu bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di Pasaraya Mydin, Kubang Kerian di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




