Pendaki wanita maut terjatuh gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Batu Pahat – Seorang wanita mati setelah tergelincir dan jatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter ketika mendaki Bukit Banang, semalam (14 Nov).

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Mohd Nor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Aina Nabila Yusof kira-kira berumur 20 tahun, pada jam 11.34 pagi.

Tambah beliau, 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram dan Batu Pahat dikejarkan ke tempat kejadian dengan sebuah trak bomba dan dua kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Aina Nabila dipercayai mendaki bukit bersama seorang rakan. Difahamkan, kejadian itu juga disaksikan oleh sekumpulan pendaki yang kemudian menghubungi pihak bomba,” katanya lagi.

Menurut Mohd Fauzi, mangsa diisytiharkan mati oleh pegawai perubatan di lokasi sebaik sahaja dia dikeluarkan dari jurang pada pukul 3.46 petang.

Jenazahnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat berakhir kira-kira pukul 5.20 petang, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Malay News
Farah Fauzi