Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahan memberitahu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq berniat jahat dengan berselindung di sebalik alasan political mileage (manfaat politik) untuk mengarahkan pengeluaran RM1 juta daripada akaun ARMADA.
Dalam hujahan pihak pendakwaan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, niat jahat Syed Saddiq boleh dilihat melalui tindakannya beliau bermula dari sebelum pengeluaran wang itu pada 6 Mac 2020 sehingga selepas 28 Mei 2020, apabila tidak memegang apa-apa jawatan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Armada.
Beliau berkata Langkah Sheraton adalah pergolakan politik sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana mahkamah boleh mengambil notis kehakiman berhubung perkara itu.
Syed Saddiq berniat jahat
Timbalan Pendakwa Raya berkata keterangan saksi, Rafiq Hakim Razali (Penolong Bendahari ARMADA), tidak dipertikaikan. Menurutnya, selepas Langkah Sheraton, Rafiq bersama seorang lagi saksi, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (bekas Penolong Setiausaha ARMADA), telah bertemu dan berbincang dengan Syed Saddiq di rumahnya.
Beliau berkata, persoalan perlu dijawab oleh Syed Saddiq adalah mengapa arahan beliau untuk mengeluarkan wang tersebut tidak dibuat sebelum Langkah Sheraton.
Tegasnya, Syed Saddiq tidak boleh menafikan kaitan dengan Langkah Sheraton kerana isu itu dibangkitkan sendiri oleh pihak pembelaan semasa pemeriksaan saksi. Keterangan saksi juga menyokong bahawa arahan tersebut dibuat untuk kepentingan politik.
“Keterangan SP13 berkenaan pengeluaran RM1 juta bagi manfaat politik perayu juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan.
“Menurut SP13, kaitan antara Langkah Sheraton dan pengeluaran wang pada 6 Mac 2020 dengan perayu adalah usaha untuk menyelamatkan perayu untuk mendapatkan manfaat politik perayu,”ujarnya.
Sementara itu, Wan Shaharuddin berhujah, hakim bicara Mahkamah Tinggi mempunyai alasan kukuh untuk memanggil Syed Saddiq untuk menjelaskan kepada mahkamah dan rakyat Malaysia mengapa beliau menggunakan alasan wang dalam akaun ARMADA adalah hasil titik peluhnya dan berhak menggunakannya.
Katanya, sehingga kini tiada langsung penjelasan Syed Saddiq mengenai perkara itu dalam bentuk keterangan yang dikemukakan di mahkamah, di mana keterangan hanya datang daripada SP13 dan dokumen yang dirujuk oleh peguam bela sendiri kepada saksi terbabit.
Tambahnya, Syed Saddiq perlu menjelaskan di bawah Seksyen 9 Akta Keterangan 1950 mengapa beliau menggunakan alasan perubahan kepimpinan dalam BERSATU atau ARMADA untuk mengarahkan pengeluaran RM1 juta dari akaun ARMADA.
“Adalah hujahan kami sebagai salah seorang pemegang amanah kepada Akuan ARMADA ini dan sebagai seorang pemimpin yang selalu menggambarkan kepada masyarakat umum imej bersih beliau, perayu patut lebih tahu beliau tidak patut menggunakan dua alasan itu untuk mengarahkan SP13 melakukan suatu kesalahan,”tegasnya.
Prosiding rayuan berlangsung di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, dan akan bersambung lagi pada 17 April ini.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Sumber: BH Online (Ahmad Johari Mohd Ali)