Pendakwah, ketua jabatan dirakam keterangan lagi

Pendakwah, ketua jabatan dirakam keterangan lagi

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendakwah bebas serta ketua jabatan kewangan dan perakaunan sebuah institusi pendidikan dan dakwah di Kedah sekali lagi dirakam keterangan hari ini selepas dibebaskan daripada tahanan reman, semalam.

Menurut sumber, kedua-dua suspek terbabit hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya bagi membantu siasatan.

“Semalam, kedua-dua suspek dibebaskan daripada tahanan reman pada 5 petang selepas mereka ditahan reman buat kali kedua pada Jumaat.

“Kedua-dua suspek tiba di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 1.30 petang tadi dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibebaskan malam ini dan proses rakaman percakapan akan disambung esok.

Terdahulu Harian Metro melaporkan dua individu berkenaan direman buat kali kedua selepas disyaki bersubahat dalam penyelewengan dana dianggarkan RM1.3 juta.

Perintah reman selama tiga hari bermula Jumaat sehingga semalam ke atas kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top