Pendakwah terkenal beri keterangan isu solat Jumaat ulama bersama bunian

Pendakwah terkenal beri keterangan isu solat Jumaat ulama bersama bunian

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sudah mengambil keterangan pendakwah terkenal semalam berhubung penularan video berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian.

Pengarahnya, Datuk Abd Ghani Zainudin berkata proses berkenaan dijalankan di pejabat jabatan itu di sini kira-kira jam 10 pagi yang dikendalikan Timbalan Pengarahnya, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.

Katanya, pendakwah terbabit hadir secara bersemuka bagi memberi keterangan lanjut berhubung kenyataannya yang menjadi perhatian umum baru-baru ini.

“Siasatan awal dan mendapati pendakwah terbabit mengakui mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu majlis pada 11 November 2023. Proses mengambil keterangan berjalan lancar dan kertas siasatan kini telah disiapkan.

“Kami akan serahkan laporan lengkap itu kepada Jabatan Mufti Negeri Kedah untuk siasatan serta penelitian selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Ghani berkata keputusan bentuk tindakan atau langkah susulan akan ditentukan Jabatan Mufti berdasarkan hasil siasatan dan pertimbangan jabatan berkenaan.

“JHEAIK menasihatkan semua pendakwah supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan ceramah, khususnya kenyataan yang berkaitan perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dibuktikan serta boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Media sebelum ini sebelum ini melaporkan JHEAIK melakukan siasatan terhadap video membabitkan penceramah terbabit susulan aduan dan maklum balas daripada orang ramai yang mempersoalkan kandungan ceramah itu.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang mempertikaikan kesahihan serta kewajaran dakwaan berkenaan, apatah lagi ia membabitkan ibadah utama dalam Islam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top