am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh agama terkenal bersama isteri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, esok berhubung kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai hampir RM13 juta.
Baca juga: Doku kembali, Van Bommel pening pilih pemain
Pendakwah berusia 30-an itu adalah pengerusi NGO berkenaan, manakala isterinya berkhidmat sebagai setiausaha pertubuhan itu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi BH mengesahkan kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9 pagi esok.
“Dia dan isterinya akan dituduh esok berhubung satu kes yang dibuka SPRM beberapa bulan lalu,” katanya.
BH sebelum ini melaporkan pendakwah bebas yang juga dikenali sebagai pempengaruh agama di media sosial, terutama TikTok, ditahan SPRM Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana NGO terbabit.
Individu berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dan bersubahat dengan ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank miliknya serta lapan akaun syarikat yang turut dimilikinya.
Siasatan SPRM sebelum ini dijalankan bagi mengenal pasti aliran dana terbabit serta kemungkinan wujud salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan NGO berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd