am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Daerah Pendang, Pokok Sena dan Baling, Kedah dilaporkan berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah celsius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan di Facebook, berkata sebanyak 15 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu atau berjaga-jaga selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celsius.
“Cuaca panas berkenaan dijangka berlaku sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
“Ini membabitkan kawasan Perlis, Kedah iaitu Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta Timur Laut dan Utara Pulau Pinang.
“Amaran sama dikeluarkan bagi Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak termasuk Kuala Lumpur,” katanya.
Justeru, penduduk di semua kawasan terbabit dinasihatkan berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar kerana keadaan kering.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang rasmi METMalaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




