mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Di atas kertas, angka pendapatan isi rumah B40 di ibu kota mungkin kelihatan memadai.
Namun realitinya, ramai keluarga di ibu negara terus bergelut untuk meneruskan kehidupan walaupun bekerja setiap hari.
Bagi sebahagian besar penduduk projek perumahan rakyat (PPR), kos hidup bandar yang makin menggila menyebabkan pendapatan bulanan tidak lagi seiring harga barangan asas, sewa rumah, pengangkutan, pendidikan anak dan kos rawatan.
Ada yang perlu berulang-alik ke hospital tetapi tidak memiliki kenderaan, malah ada terpaksa mengikat perut demi membeli kelengkapan sekolah anak.
Ramai juga bekerja lebih masa, namun masih tidak mampu keluar daripada tekanan kewangan yang menghimpit.
Golongan ini tidak menjerit meminta simpati bahkan mereka bekerja, membayar bil, membesarkan anak, tetapi hidup dalam kekurangan yang tidak terlihat.
Inilah kelompok yang sering digelar sebagai invisible poor, wujud tetapi tidak kelihatan pada statistik biasa.
Menurut data Wilayah Persekutuan, ramai keluarga berpendapatan rendah tidak direkodkan sebagai miskin tegar kerana gaji mereka melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Namun hakikatnya, kos hidup bandar jauh lebih tinggi berbanding PGK nasional.
Sewa PPR yang dianggap rendah juga masih membebankan bagi keluarga yang gajinya tidak stabil, bekerja dalam sektor gig atau mempunyai ramai tanggungan.
Tambahan pula, ada yang bergaji tunai dan tidak mempunyai rekod rasmi sekali gus menyebabkan mereka sukar memohon bantuan.
Justeru, walaupun bukan miskin tegar di atas kertas, mereka tetap hidup dalam keadaan rapuh, cukup makan pada hari ini tetapi terdedah untuk jatuh miskin esok jika ditimpa penyakit, kemalangan mahupun kehilangan pekerjaan.
Di sebalik itu, zakat menjadi sumber penting yang menampung ribuan keluarga di Kuala Lumpur.
Zakat yang dikutip Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) disalurkan sebagai bantuan kewangan bulanan, sewa rumah, pendidikan anak-anak, perubatan, bantuan kecemasan dan pelbagai skim lain yang memanfaatkan lebih 163,000 asnaf di Wilayah Persekutuan.
Zakat bukan sekadar ibadah, ia adalah sumber yang memastikan bantuan asas kepada mereka yang terpinggir ini dapat diteruskan setiap bulan.
Namun rekod menunjukkan, pembayar zakat di Kuala Lumpur pada 2024 hanyalah 249,612 orang, angka yang masih rendah berbanding jumlah umat Islam yang bekerja atau tinggal di ibu kota.
Ini bermakna masih ramai yang belum cakna tentang kewajipan zakat ataupun tidak menyedari zakat pendapatan kini boleh dibayar dengan mudah melalui pelbagai saluran digital.
PPZ-MAIWP menjelaskan, penilaian asnaf tidak hanya melihat angka pendapatan, tetapi turut meneliti kos sebenar kehidupan seperti jumlah anak, kewajipan menjaga ahli keluarga uzur, sewa rumah tinggi, penyakit kronik, hutang perlu dan perbelanjaan pendidikan.
Inilah yang membantu golongan rapuh bandar menerima bantuan meskipun tidak dikategorikan sebagai miskin tegar.
Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, zakat menjadi pelindung penting bagi keluarga yang terhimpit.
Tetapi keberlangsungan bantuan ini bergantung kepada kesedaran masyarakat.
Jika lebih ramai umat Islam menunaikan zakat, walaupun sedikit setiap bulan, lebih banyak keluarga dapat dibantu, lebih ramai invisible poor dapat diselamatkan daripada terjerumus menjadi miskin tegar dan lebih banyak nyawa dapat dibantu melalui program bantuan berterusan MAIWP.
Dengan pelbagai saluran mudah seperti potongan zakat bulanan, portal zakat.com.my, aplikasi MyZakat dan perbankan internet, proses pembayaran kini jauh lebih ringkas dan telus.
Setiap individu yang berzakat menyumbang kepada kelangsungan hidup keluarga yang benar-benar memerlukan.
Jangan biarkan golongan yang senyap ini terus tidak terlihat. Mulakan atau tingkatkan bayaran zakat anda hari ini kerana bantuan mereka mungkin bermula daripada anda.
© New Straits Times Press (M) Bhd




