DALAM era pasca pandemik dan ketidaktentuan ekonomi global, banyak negara termasuk Malaysia bergelut dengan tekanan fiskal, ketidakseimbangan pendapatan serta kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.
Sistem percukaian konvensional yang terlalu bergantung kepada hasil cukai termasuk cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan cukai barangan (seperti Sales and Services Tax – SST dan Goods and Services Tax – GST) semakin dipersoalkan dari sudut keberkesanan dan keadilan sosial.
Justeru, pendekatan Islam dalam menjana pendapatan negara wajar diketengahkan sebagai alternatif yang lebih seimbang dan berpaksikan nilai Maqasid Syariah.
Ibnu Khaldun dan prinsip ekonomi berpaksikan kesejahteraan rakyat
Tokoh ilmuan Islam terkemuka, Ibnu Khaldun dalam karya agungnya al-Muqaddimah, beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara sangat bergantung kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, apabila rakyat mempunyai kuasa beli dan menjalankan aktiviti ekonomi secara aktif, hasil negara akan meningkat secara semula jadi tanpa perlu bergantung kepada kadar cukai yang tinggi.
Sebaliknya, cukai berlebihan akan mematikan semangat keusahawanan, melemahkan daya beli rakyat dan akhirnya menjejaskan hasil negara secara keseluruhan.
Kajian moden turut menyokong pandangan ini. Sebagai contoh, laporan Bank Dunia pada 2023 menyebut bahawa negara yang mengenakan kadar cukai tinggi kepada golongan B40 secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan relatif dan ketidaksamaan ekonomi.
Sumber pendapatan negara dalam sejarah Islam
Sejak zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, sistem ekonomi Islam telah meletakkan asas yang kukuh dalam pengurusan hasil negara yang adil dan mampan. Antara sumber utama pendapatan yang digunakan adalah seperti:
1. Kharaj (Hasil tanah)
Hasil daripada tanah pertanian yang ditadbir oleh negara dan diusahakan oleh penduduk tempatan. Pendapatan ini diagihkan semula untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
2. Jizyah (Cukai ke atas bukan Muslim kategori zimmi)
Cukai dikenakan ke atas bukan Muslim (zimmi) yang tinggal di bawah perlindungan kerajaan Islam. Ia bukan bentuk diskriminasi, malah menggantikan kewajipan ketenteraan dan menjamin hak serta keselamatan mereka.

PENGENAAN cukai patut difokuskan kepada entiti berkeupayaan tinggi tanpa menindas peniaga kecil atau pengguna akhir. Foto Canva
3. Zakat dan sedekah
Zakat merupakan instrumen kewangan wajib yang mengagihkan kekayaan kepada asnaf yang layak. Malaysia kini mengutip zakat lebih RM4 bilion setahun (laporan MAIWP, 2023), tetapi masih berpotensi digembleng secara lebih strategik.
4. Sumber kekayaan asli
Seperti hasil petroleum, perhutanan, perikanan dan lombong. Pengurusan sumber ini perlu telus dan berasaskan keperluan rakyat, bukan keuntungan elit semata-mata.
5. Cukai bersasar terhadap korporat besar
Dalam konteks semasa, pengenaan cukai patut difokuskan kepada entiti berkeupayaan tinggi seperti syarikat tersenarai awam, sektor telekomunikasi, teknologi dan kewangan – tanpa menindas peniaga kecil atau pengguna akhir.
Penswastaan aset strategik: Satu penilaian semula
Islam menekankan konsep maslahah ‘ammah (manfaat umum) yang mendahului kepentingan individu atau korporat.
Oleh itu, pengurusan aset strategik negara seperti lapangan terbang, utiliti air, tenaga dan sistem pengangkutan awam perlu kekal di bawah pengawasan kerajaan atau institusi amanah negara.
Penswastaan secara total kepada syarikat berkepentingan untung semata-mata terbukti berisiko.
Kajian oleh Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada 2022 menunjukkan bahawa penswastaan perkhidmatan asas tanpa kawal selia yang ketat sering menyebabkan peningkatan caj, penurunan mutu perkhidmatan dan ketidaksamaan akses.
Sejarah Islam menunjukkan bahawa institusi seperti Baitulmal memainkan peranan penting dalam mengurus sumber negara demi faedah rakyat secara kolektif.
Belanja negara dan prinsip keberkatan
Al-Quran secara jelas mengutuk pembaziran. Firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.” (Surah al-Isra’: 27)
Belanjawan negara perlu disusun berasaskan keutamaan sebenar rakyat seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan perumahan.

MODEL ekonomi yang lebih adil, inklusif dan tahan uji akan membawa banyak manfaat kepada rakyat, sekali gus membina generasi yang lebih berdaya saing. Foto Canva
Projek mega bersifat kosmetik dan hanya menguntungkan segelintir golongan elit tidak sepatutnya menjadi agenda utama.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Malaysia pada 2024, hampir 15% perbelanjaan projek mega menghadapi ketirisan atau kelewatan – membuktikan keperluan pembaharuan radikal dalam pengurusan fiskal.
Islam menuntut akauntabiliti dan ketelusan. Dalam konteks ini, peranan agensi pengauditan bebas, penglibatan masyarakat awam dan sistem pemantauan digital perlu diperkuat bagi mengekang pembaziran, penyelewengan serta memastikan belanja negara memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Secara kesimpulannya. pendekatan Islam terhadap ekonomi bukan sekadar idealisme spiritual, tetapi merupakan kerangka teknikal yang menyeluruh untuk mengurus kekayaan, pendapatan dan perbelanjaan negara.
Ia menekankan keadilan, rahmah dan keberkatan sebagai asas kepada kelangsungan ekonomi negara.
Malaysia dan negara-negara Islam lain wajar kembali menelusuri warisan keilmuan ini untuk membangunkan model ekonomi yang lebih adil, inklusif dan tahan uji.
Ini bukan sahaja akan memperkukuh keupayaan fiskal negara, tetapi turut menyuburkan hubungan harmoni antara rakyat dan pemerintah kerana apabila rakyat melihat hasil negara diurus secara telus dan adil, mereka akan lebih sedia menyumbang dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.
***DR MOHD SHAFIQ SAHIMI dan TS INV MAHMOD ABD HAKIM MOHAMAD merupakan Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)