Pendedahan Azizulhasni mengejutkan, KBS tidak serius urus atlet – Ketua Pemuda Pas

SHAH ALAM – Pendedahan Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang tentang sikap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap perjalanan kariernya menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) agak mengejutkan.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia menunjukkan KBS tidak begitu serius mengurus seorang atlet berprestasi tinggi yang masih mempunyai kemampuan bersaing di pentas dunia.

Menurutnya, berdasarkan penjelasan panjang lebar Azizulhasni, isu itu bukan tentang diri peribadinya semata-mata.

“KBS perlu buat keputusan, adakah khidmat dan pengalaman Azizulhasni masih diperlukan atau tidak?

“Kalau perlu, uruskan dengan segera, kalau tak perlu, beritahu beliau secara terus terang. Beliau ada anak isteri yang perlu diuruskan dan komitmen kewangan yang perlu diusahakan.

“Kita tidak mahu KBS lepaskan peluang keemasan menuju LA28 yang terhidang di hadapan mata dalam sukan berprestasi tinggi begini,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Azizulhasni menyifatkan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) kurang profesional dan kurang cekap apabila mengambil masa sehingga dua bulan lima hari untuk memberikan keputusan konkrit mengenai khidmatnya bagi misi kelayakan ke Sukan Olimpik LA28.

Dalam penjelasan sembilan muka surat di media sosial semalam, bekas juara dunia itu berkata, kelewatan itu menyukarkan perancangannya untuk menentukan hala tuju karier, termasuk persediaan menghadapi perlumbaan penting yang menawarkan mata kelayakan ke LA28.

Tambah Afnan Hamimi, apatah lagi dengan kemampuan dan pengalaman Azizulhasni yang berada pada kedudukan 20 teratas atlet dunia dalam sukan berkenaan.

Jelasnya, jika KBS buat keputusan untuk pilih atlet lain yang lebih muda, buat persiapan segera untuk itu.

“Peruntukan yang sedia ada, salurkan kepada atlet muda berkenaan, jika ada.

” Isu yang turut dibangkitkan ialah ke mana perginya peruntukan sebanyak RM 9.3 juta untuk program pembangunan sukan berbasikal trek negara seperti yang diumumkan sebelum ini?

“Azizulhasni menyatakan beliau hanya menerima RM100,000 bagi tahun ini daripada geran berjumlah RM200,000 untuk 2025 dan 2026,” ulasnya

Beliau berpendapat KBS sewajarnya memperincikan secara telus mengenai RM9.3 juta tersebut diagihkan.

“Kepada program apa, atlet mana dan apakah sasaran prestasinya,” katanya.

Afnan Hamimi turut berharap Menteri KBS dapat tangani segera isu ini.

“Jika yang berhormat (YB) boleh turun menyelam dalam laut untuk membersihkan sampah, dengan rakaman video yang hebat dan berkualiti tinggi, saya yakin YB juga boleh turut menyelami isu ini dengan segera.

“Cuma pastikan guna video yang original,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top