Isu keganasan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) yang berlaku di pasar minggu di Kemaman, baru-baru ini mengejutkan masyarakat. Insiden berkenaan yang tular di media sosial, memperlihatkan seorang individu OKU dipukul dan diperlakukan secara tidak wajar hanya kerana didakwa melakukan kesalahan kecil.
Kejadian ini mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk kecaman terhadap tindakan yang melampaui batas. Dalam konteks Islam, menangani pelaku salah perlulah berpaksikan keadilan, belas kasihan dan pendekatan yang mendidik, bukannya dengan tindakan merendahkan maruah atau membelasah serta membalas dendam.
Konsep keadilan dalam Islam
Islam menekankan keadilan sebagai asas dalam menangani sebarang permasalahan. Firman Allah dalam Surah an-Nisa’ ayat 58 bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”
Dalam insiden di Kemaman itu, tindakan memukul individu OKU tanpa memberi peluang untuk membela diri adalah jelas bertentangan dengan prinsip keadilan ini. Dalam Islam, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan berhak untuk diadili secara adil dan diberikan peluang untuk menjelaskan keadaannya.
Kebijaksanaan dalam menangani pelaku salah
Antara prinsip utama dalam Islam adalah mengambil pendekatan bijaksana (hikmah) dalam menangani sesuatu masalah. Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka melalui cara yang lebih baik.”
Pendekatan yang bijaksana melibatkan pemahaman terhadap situasi sebenar, latar belakang pelaku dan keadaan yang membawa kepada kesalahan itu. Dalam kes melibatkan individu OKU, penting untuk menyedari golongan ini sering berhadapan cabaran mental dan fizikal yang mungkin mempengaruhi tingkah laku mereka. Oleh itu, sebarang tindakan terhadap mereka mesti dilakukan dengan penuh empati dan kesedaran tentang keadaan mereka.
Belas kasihan sebagai asas pendekatan Islam
Islam juga menekankan belas kasihan dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam menangani pelaku salah. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam menunjukkan belas kasihan, walaupun terhadap mereka yang bersalah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai kelembutan dalam setiap urusan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Belas kasihan bukan sahaja melibatkan kesediaan memaafkan, tetapi juga usaha untuk mendidik dan memperbaiki pelaku agar tidak mengulangi kesalahan. Dalam konteks kejadian di Kemaman, tindakan kekerasan terhadap individu OKU bukan sahaja tidak mencerminkan belas kasihan, tetapi juga boleh membawa kepada kesan psikologi yang lebih buruk kepada mangsa.
Tindakan yang dilarang dalam Islam
Islam melarang keras sebarang bentuk kezaliman dan kekerasan yang tidak wajar. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 190 bermaksud: “Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”
Ayat ini memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak melampaui batas walaupun ketikamenghadapi musuh sekalipun. Apatah lagi dalam keadaan seperti di Kemaman apabila mangsa adalah individu OKU yang tidak mampu mempertahankan diri. Kekerasan seperti ini bukan sahaja melanggar syariat Islam, tetapi juga nilai kemanusiaan.
Pendekatan pemulihan dan pendidikan
Dalam menangani pelaku salah, pendekatan pemulihan dan pendidikan adalah lebih diutamakan dalam Islam berbanding hukuman semata-mata. Rasulullah SAW pernah menunjukkan contoh ini apabila seorang Badwi kencing di dalam masjid. Sahabat ingin bertindak keras terhadap lelaki itu, tetapi Rasulullah SAW menegur mereka dan berkata: “Biarkan dia dan bersihkan kencingnya dengan menuangkan air. Kamu diutus untuk mempermudahkan, bukan menyulitkan.” (RiwayatBukhari)
Pendekatan seperti ini menunjukkan betapa pentingnya memberi panduan dan nasihat secara baik untuk mendidik pelaku salah.
Dalam konteks isu OKU di Kemaman itu, pihak berwajib dan masyarakat perlu mengambil pendekatan untuk memahami keadaan individu berkenaan dan membantu mereka agar tidak mengulangi kesalahan, jika benar mereka melakukannya.
Kepentingan peranan masyarakat
Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menangani pelaku salah. Dalam Islam, tanggungjawab ini dikenali sebagai amar makruf nahi mungkar iaitu menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Namun, pelaksanaannya mesti dilakukan dengan cara berhikmah dan tidak menimbulkan kemudaratan.
Kejadian di Kemaman itu menjadi peringatan kepada kita tentang perlunya masyarakat untuk lebih peka dan bertindak secara matang dalam menghadapi situasi seperti ini. Tindakan memukul atau merendahkan maruah seseorang bukan sahaja melanggar prinsip Islam, tetapi juga mencerminkan ketidakmatangan dalam menyelesaikan masalah.
Menangani pelaku salah dalam Islam adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan penuh keadilan, belas kasihan dan hikmah. Kejadian seperti yang berlaku itu menunjukkan betapa pentingnya masyarakat memahami ajaran Islam dalam menangani kesalahan terutama melibatkan golongan yang lebih lemah seperti OKU. Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa mengambil iktibar daripada ajaran Rasulullah SAW dan memastikan tindakan kita sentiasa berpandukan syariat serta nilai kemanusiaan.
Semoga insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pihak dan membuka ruang untuk masyarakat bertindak dengan lebih bijaksana serta berakhlak mulia dalam menghadapi pelbagai cabaran sosial pada masa akan datang.
Penulis Ketua Unit Komunikasi Korporat, Politeknik Hulu Terengganu (PHT)
© New Straits Times Press (M) Bhd




