Pendekatan hikmah tangani penghinaan terhadap Islam

Pendekatan hikmah tangani penghinaan terhadap Islam

Penghinaan terhadap agama Islam bukanlah isu baharu. Dari dahulu hingga kini, Islam sering berhadapan dengan cabaran ini dalam pelbagai bentuk, termasuk penghinaan terhadap Rasulullah SAW, al-Quran dan hukum-hakam Islam. Menangani isu ini secara progresif dan harmoni adalah suatu tuntutan yang penting untuk memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat terpelihara. 

Oleh itu, pendekatan dakwah secara bijaksana dan berhikmah perlu diterapkan dalam jiwa umat Islam.

 

Mencontohi akhlak Nabi

 

Dalam menghadapi penghinaan terhadap agama Islam, meneladani sikap dan akhlak Rasulullah SAW adalah perkara yang terbaik. Memetik contoh peristiwa dakwah Rasulullah SAW di Taif, baginda berhadapan dengan konflik yang sangat dahsyat. 

Para penduduk Taif bukan sahaja menolak dakwah Rasulullah SAW, tetapi mereka juga menghasut kanak-kanak dan orang awam untuk mengejek dan menyerang Baginda. Nabi SAW dilempari batu sehingga menyebabkan tubuh Baginda cedera parah, dan darah mengalir dari kepala hingga kaki baginda.

Walaupun dianiaya sedemikian rupa, respons Rasulullah SAW sangat bijaksana dan progresif. Baginda tidak mendoakan kebinasaan ke atas penduduk Taif. Sebaliknya, baginda berharap agar keturunan mereka suatu hari nanti akan menerima Islam. 

Berkat kesabaran dan pendekatan bijaksana Rasulullah SAW, akhirnya keturunan penduduk Taif akhirnya memeluk agama Islam. Ini menunjukkan bahawa pendekatan yang lemah lembut dan bersikap rahmah akhirnya akan membuahkan hasil. 

Selain itu, al-Quran turut menegaskan kepentingan bersikap lembut dalam dakwah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran ayat 159)

Ayat ini menunjukkan bahawa pendekatan lembut dan kasih sayang lebih berkesan dalam menarik hati manusia berbanding reaksi yang keras. Oleh itu, umat Islam hendaklah mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam menghadapi sebarang penghinaan atau provokasi.

 

 Penggunaan ilmu dalam dakwah

Ilmu adalah senjata utama dalam menjawab fitnah dan salah faham terhadap Islam. Umat Islam perlu memperkasa diri dengan pengetahuan yang mendalam tentang agama, sejarah dan budaya supaya mampu memberikan jawapan yang tepat dan bernas. Rasulullah SAW sendiri sering menggunakan hujah yang jelas dan logik dalam menyampaikan dakwah kepada golongan yang tidak memahami Islam.

Sebagai contoh, terdapat sebuah kisah berkenaan Nasrani Najran yang berdialog dengan Nabi SAW:

Dialog tersebut antara Rasulullah SAW dengan delegasi Nasrani Najran menunjukkan kebijaksanaan baginda menggunakan ilmu dan dalil yang kukuh untuk menjelaskan kebenaran Islam. Bahkan, Rasulullah SAW tidak pula menghalau atau menyuruh mereka pulang ke Najran tetapi mengalu-alukan dialog antara mereka. Dialog ini akhirnya membuka ruang perbincangan yang lebih harmoni dan saling menghormati. 

Selain itu, Allah SWT turut menggariskan tiga kaedah utama dalam menyampaikan kebenaran iaitu dakwah secara berhikmah, mengajar dengan teladan yang baik, dan berbahas secara bijaksana. Oleh itu, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk menjawab sebarang salah faham terhadap agama ini secara rasional dan profesional. Firman Allah SWT yang maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah al-Nahl ayat 125)

 

Utamakan dialog damai

Dialog antara agama adalah salah satu cara terbaik untuk menjelaskan keindahan Islam secara terbuka. Dalam suasana dialog yang damai, pihak yang berbeza agama dapat memahami Islam secara langsung daripada sumbernya, tanpa bergantung kepada tanggapan atau fitnah yang tidak berasas.

Kisah dialog Rasulullah SAW dengan seorang pemuda Quraisy yang ingin meminta kebenaran untuk berzina adalah contoh pendekatan dialog yang efektif. Baginda tidak marah atau menghina pemuda tersebut, tetapi menggunakan pendekatan dialog yang rasional dengan melontarkan soalan yang menyentuh jiwa, “Adakah kamu suka jika perkara itu dilakukan kepada ibumu?” Soalan ini menyentuh hati pemuda tersebut dan akhirnya dia meninggalkan niat buruknya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka…” (Surah al-Ankabut ayat 46)

Ayat ini menegaskan dialog adalah asas kepada hubungan harmoni antara umat Islam dan bukan Islam. Dengan membuka ruang dialog yang sopan, umat Islam dapat mempromosikan keindahan Islam sebagai agama yang membawa kedamaian dan rahmat.

Kesimpulan

Dalam menghadapi penghinaan terhadap Islam, umat Islam perlu mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang penuh kesabaran dan kasih sayang, memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan untuk menjawab fitnah, dan mengutamakan dialog damai untuk menyebarkan keindahan Islam. 

Pendekatan ini bukan sahaja mencerminkan keindahan Islam, malah dapat menarik hati manusia kepada agama ini dengan cara penuh hikmah.

Sebagai umat Islam, tanggungjawab kita adalah untuk terus berusaha menjadi duta Islam yang terbaik agar dakwah Islam akan terus relevan dan memberikan manfaat kepada seluruh umat manusia.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top