Petaling Jaya: LGBT, yang merujuk kepada komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender, kini bukan lagi sesuatu yang asing dalam masyarakat. Namun hakikatnya, ia telah berkembang sejak tahun 80-an lagi di Malaysia. Perkembangan ini amat membimbangkan kerana boleh menghakis nilai moral dan keagamaan seseorang individu. Di era digital yang serba canggih ini, penyebaran ideologi serta normalisasi gaya hidup tersebut semakin cepat dan pantas melalui pelbagai platform media sosial, filem dan hiburan. Penyebaran ideologi yang dibawa oleh golongan tersebut jelas sekali bertentangan dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam serta Perlembagaan Malaysia sendiri. Allah SWT pernah memberi amaran keras kepada kaum Nabi Luth atas perbuatan songsang yang mereka lakukan. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui pembuktian dalil dalam surah al-A’raf ayat 80-84, di mana mereka tetap ingkar dan akhirnya menerima azab yang amat dahsyat sebagai pengajaran kepada sekalian umat manusia.
Dapat dilihat pada masa kini, golongan yang sering terjebak dengan isu LGBT kebanyakannya terdiri daripada anak muda berusia belasan tahun hingga awal 20-an. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dilihat di media sosial. Contohnya, apabila pempengaruh atau ‘influencer’ kegemaran mereka secara terbuka memuat naik gambar berpakaian bertentangan dengan jantina asal di laman sosial masing-masing. Bukan itu sahaja, banyak drama dan filem luar negara yang sukar ditapis turut mengetengahkan serta mengagung-agungkan hubungan songsang atau penukaran jantina. Filem-filem sebegini sering menonjolkan rasa simpati terhadap golongan LGBT yang dihina. Akibatnya, ia menyebabkan remaja yang menontonnya juga turut berasa simpati dan akhirnya tidak lagi melihat isu LGBT sebagai satu kesalahan, malahan menyokong perbuatan tersebut.
Oleh itu, Malaysia sebagai sebuah negara Islam hendaklah menangani isu LGBT melalui pendekatan yang berkesan dan berhikmah, tanpa menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Tambahan pula, generasi muda masa kini memerlukan nasihat dan teguran yang lembut, bukannya kritikan atau hinaan, kerana pendekatan yang kasar hanya akan menyebabkan mereka semakin jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Persoalannya, apakah pendekatan yang dapat diambil untuk menangani isu LGBT di Malaysia, khususnya pada era digital ini?
Islam merupakan agama yang sempurna dan telah menetapkan panduan yang jelas dalam menangani segala perbuatan yang bertentangan dengan fitrah manusia, termasuklah isu LGBT. Antara pendekatan yang boleh diambil ialah melalui dakwah dan bimbingan berasaskan konsep “rahmatan lil-’alamin”. Dalam konteks era digital masa kini, masyarakat perlu memanfaatkan platform media sosial mereka sebagai medium dakwah yang menekankan nilai kasih sayang serta hikmah, dan bukan penghinaan atau pengasingan terhadap golongan ini. Kaedah ini amat dititikberatkan dalam Islam, kerana Nabi SAW juga merupakan contoh yang terbaik dalam mendidik secara lemah-lembut dan tidak terus menghukum. Perkara ini jelas dibuktikan melalui ayat al-Quran dalam Surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
Selain itu, pendekatan perundangan Malaysia dan penguatkuasaan syariah amat penting dalam menangani isu LGBT. Seperti yang diketahui umum, aktiviti-aktiviti berunsurkan LGBT sering kali ditonjolkan melalui laman media sosial oleh sebahagian individu. Contoh yang dapat dilihat ialah melalui aplikasi Instagram, TikTok dan X. Pihak berkuasa seharusnya mengesan, merekod serta menganalisis kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan syariah di laman media sosial tersebut seperti penyebaran filem atau kandungan berunsurkan LGBT, dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam membanteras isu LGBT di Malaysia. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengekang penyebaran aktiviti songsang ini memainkan peranan yang penting dalam menangani isu LGBT, terutamanya di era digital.
Tidak kurang pentingnya, kaunseling dan terapi psikospiritual dalam talian juga merupakan antara kaedah yang efektif dalam membantu golongan yang terlibat dengan LGBT untuk kembali ke fitrah asal mereka. Kadang-kadang, golongan ini mempunyai hasrat untuk berubah, namun tiada sesiapa yang dapat membimbing dan memberi nasihat kepada mereka, yang menyebabkan mereka terus terjerumus dalam kegiatan ini. Oleh itu, pihak berkuasa dan pusat kaunseling Islam perlu bekerjasama dengan pakar psikologi serta kaunselor berdaftar untuk mewujudkan platform bimbingan dalam talian yang berasaskan nilai-nilai Islam.
Akhir kata, jelaslah bahawa pendekatan-pendekatan ini, jika diambil dengan serius oleh kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan, dapat membimbing golongan yang terlibat dengan isu LGBT, terutamanya generasi muda, agar meninggalkan gaya hidup yang bertentangan dengan syariat Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
Oleh: Syahzanani Zahirah Binti Saiful Sukairi (22000456)
Pelajar Tahun 3, Sarjana Muda Usuluddin,
Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.



