KUALA LUMPUR – Pendekatan kreatif dan interaktif menjadi kunci utama kepada pendakwah masa kini untuk menarik minat golongan muda mendekati ilmu agama di sebalik pelbagai cabaran semasa yang melanda masyarakat.
Penulis buku terbitan Karya Bestari, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud berkata, kaedah itu amat penting bagi mewujudkan interaksi dua hala yang mampu membantu pemahaman lebih baik mengenai agama dalam kalangan generasi muda.
“Pada hari ini, para pendakwah perlu memanfaatkan ilmu dan pendekatan kreatif untuk menarik seberapa ramai anak muda meminati ilmu, khususnya ilmu agama.
“Dengan cabaran yang banyak hari ini, pendakwah perlu mendekati anak muda dan mewujudkan hubungan yang baik dengan mereka. Interaksi yang berterusan akan membantu menarik minat mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pembaca sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali Ke-43 di reruai Karya Bestari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Ahad.
Sesi berkenaan yang turut menampilkan seorang lagi penulis Karya Bestari, Ustaz Fazrul Ismail berjaya menarik perhatian pengunjung yang teruja berpeluang bertemu secara lebih dekat dengan penceramah dan penulis kegemaran mereka.

Fazrul (kanan) dan Mohamad Zarifi (kori) ketika sesi ramah mesra bersama pembaca sempena PBAKL di reruai Karya Bestari di WTC pada Ahad.
Mengulas mengenai naskhah terbaharunya berjudul Sembuh Dengan Kalam Tuhan, Mohamad Zarifi berkata, buku itu memfokuskan usaha memberikan kekuatan dan semangat kepada setiap insan yang berdepan ujian kehidupan dengan kembali kepada al-Quran.
“Dalam al-Quran, ALLAH SWT telah merakamkan bagaimana ujian yang diberikan kepada para Nabi dan Rasul. Itulah yang menjadi momen kekuatan untuk kita belajar daripada apa yang telah dihadapi oleh mereka,” ujarnya yang akan berada di pesta buku itu secara berjadual sepanjang 11 hari penganjuran.
Sementara itu, Fazrul berkata, kesedaran masyarakat terhadap amalan tadabbur al-Quran kini semakin meningkat berbanding sebelum ini apabila ramai mula berusaha memahami kandungan kitab suci itu dan mengaplikasikannya dalam kehidupan.
Beliau berkata, jika dahulu kebanyakan masyarakat hanya membaca tanpa cuba memahami maksud yang disampaikan, trend kini berubah apabila semakin ramai mencari penyelesaian sebenar berpandukan al-Quran.
“Cabaran sebelum ini adalah membaca terjemahan tetapi kadang-kadang tidak faham apa yang disampaikan. Namun sekarang, menerusi program tadabbur di televisyen, masjid dan lapangan, kita nampak respons terhadap buku-buku tadabbur semakin meningkat.
“Masyarakat sudah mula nampak bahawa al-Quran adalah penyelesaian sebenar berbanding dahulu yang bersifat superficial iaitu luaran sahaja,” ujarnya.
Fazrul hadir mempromosikan buku Tadabbur dan Aplikasi Surah Yusuf yang baru berada di pasaran sejak beberapa hari lalu dan menyatakan hasrat untuk kembali ke pesta buku itu sekiranya mempunyai kelapangan waktu.
Dalam pada itu, rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan karya-karya berunsur tadabbur al-Quran yang dihasilkan para ilmuwan tempatan memberi impak besar kepada kehidupan mereka.
Bagi Muhammad Wahid Ibrahim, 73, usaha menghasilkan buku-buku agama dan tadabbur al-Quran wajar disokong oleh seluruh umat Islam dalam mendepani cabaran era digital.

Muhammad Wahid
Pengunjung dari Shah Alam itu berkata, amalan membaca naskhah agama mampu membuka dimensi baharu dan meningkatkan tahap keimanan seseorang.
“Saya menyarankan sangat kepada semua umat Islam supaya bacalah buku-buku yang dihasilkan dan ditadabbur oleh para ilmuwan kita. Ini kerana ia dapat membuka minda dan membimbing kita ke arah ketakwaan.
“Saya sendiri sudah lama mengikuti tulisan Ustaz Fazrul dan sebelum ini telah memiliki buku Tadabbur Surah Al-Kahfi serta Surah Yasin. Hari ini, saya hadir untuk mendapatkan naskhah terbaharunya,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Wan Zuraini Marzuki, 49, berkata, pendekatan yang digunakan penulis dalam menyampaikan ilmu agama menerusi penulisan sangat dekat dengan hati pembaca.
Meskipun mengakui masih baharu mengikuti perkembangan karya-karya berkenaan, beliau berkata, kaedah penyampaian yang santun dan teratur berjaya menarik minatnya untuk terus mendalami ilmu yang dikongsikan.
“Cara ustaz menyampaikan ilmu melalui buku dan cara beliau bercakap sangat menarik perhatian. Pengisiannya benar-benar menyentuh dan meresap ke dalam hati saya.
“Ini adalah kali pertama saya berpeluang datang dan bertemu sendiri secara empat mata dengan ustaz. Pengalaman ini sangat menyeronokkan dan sekiranya ada lagi program atau pesta buku seperti ini pada masa akan datang, saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk hadir lagi,” tambahnya.



