Pendekatan Nabi SAW mendidik kanak-kanak

Pendekatan Nabi SAW mendidik kanak-kanak

Sesungguhnya agama Islam sangat memberi penekanan yang berat berkenaan cara pendidikan kanak-kanak bermula daripada mula daripada bayi sehinggalah dibesarkan. Perkara ini dapat dilihat melalui galakan Nabi SAW kepada bayi yang baru lahir untuk diazankan pada telinga kanan dan diiqamahkan pada telinga kiri berdasarkan sebuah hadis daripada sabdanya yang diriwayatkan oleh ‘Ubaidullah bin Abi Rafi’, daripada bapanya, beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mengazankan di telinga al-Hasan bin ‘Ali ketika Fatimah melahirkannya dengan azan solat.” – (HR Abu Daud). Hadis ini menunjukkan kepada saranan Nabi SAW cara mendidik kanak-kanak semenjak bayi lagi.

Dalam sirah nabawiyyah dan hadis-hadis baginda Nabi SAW selain daripada perhatian baginda kepada golongan tua dan muda, baginda juga tidak lupa golongan kanak-kanak untuk mendidik mereka, kerana merekalah golongan yang akan menggantikan golongan tua dan meneruskan generasi pada suatu hari nanti.

Antara petunjuk nabawi dan tarbiyyah nabawiyyah kepada golongan kanak-kanak yang boleh diperhatikan:

Pertama, galakan Nabi SAW golongan kanak-kanak mempelajari akidah dengan perbahasan yang mudah. Nabi SAW bersabda: “Wahai anak kecil, sesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya bersamamu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Jika engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah bahawa sekiranya seluruh umat berhimpun untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu. Jika mereka berhimpun untuk memudaratkanmu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memudaratkanmu melainkan dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu). Telah diangkat pena dan telah kering lembaran (takdir telah ditetapkan.” (HR al-Tirmizi)

Kedua, petunjuk Nabi SAW kepada kanak-kanak dalam beradab dan berakhlak. Perkara ini dapat dilihat bagaimana Nabi SAW mendidik cara dan adab dalam menjamu selera. Baginda Nabi SAW bersabda: “Dekatlah ke mari wahai anakku, sebutlah nama Allah (bacalah Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah daripada apa yang dekat denganmu.” (HR Abu Dawud)

Ketiga, Nabi SAW memberi masa kepada anak-anak kecil dan meraikan sifat fitrah mereka yang suka bermain-main. Perkara ini dirakamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, beliau berkata: “Ketika Rasulullah SAW sedang menunaikan solat. Apabila Baginda sujud, Hasan dan Husain melompat naik ke atas belakang Baginda. Lalu, para sahabat hendak menghalang mereka. Akan tetapi Baginda memberi isyarat agar membiarkan mereka. Setelah selesai solat, Baginda mendukung mereka dan meletakkan mereka di atas pangkuannya, lalu bersabda: ‘Sesiapa yang mencintaiku, maka hendaklah dia mencintai kedua-dua anak ini (yakni Hasan & Husain).'” (HR Ibnu Khuzaimah)

Keempat, pendekatan Rasulullah SAW mengambil hati dan menjaga perasaan anak kecil seperti kisah adik kepada Anas bin Malik RA yang dikenali sebagai Abu ‘Umair yang kematian burungnya. Kisah ini telah telah diriwayatkan oleh Anas RA bahawasanya: “Rasulullah SAW pernah masuk ke rumah kami dan ketika itu saya mempunyai seorang adik kecil yang digelar Abu ‘Umair. Dia memiliki seekor burung kecil (dipanggil nughair) yang selalu dia bermain denganya. Suatu hari burung itu mati. Pada suatu hari, Nabi SAW pun masuk (ke rumah kami) dan melihat Abu ‘Umair dalam keadaan sedih. Baginda bertanya: ‘Apa halnya dia (Abu ‘Umair)? Mereka menjawab: Burung kecilnya telah mati. Maka Rasulullah SAW pun bersabda (dengan nada bergurau): ‘Wahai Abu ‘Umair, apa yang tengah dilakukan burung kecilmu (nughair) itu?).'” HR al-Bukhari Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852H) dalam kitabnya Fatḥ al-Bārī telah menginstinbatkan 60 hukum melalui hadis ini. Antara hukum dan faedah yang boleh disebutkan melalui hadis ini: Harus memanggil seseorang dengan nama manja atau panggilan kasih sayang khususnya ketika seseorang tersebut dalam keadaan terluka, seperti sabda Nabi SAW: (Wahai Abu ‘Umair). Dibolehkan bagi bagi kanak-kanak bermain dengan burung tanpa menyeksanya dan harus juga bagi ibu bapa ataupun penjaga membenarkannya berbuat demikian. Dibolehkan bergurau, termasuk bergurau dengan kanak-kanak yang masih belum mumayyiz (belum boleh membezakan baik dan buruk).

Kelima, galakan Nabi SAW menuntut ilmu sejak kecil. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang belajar ilmu ketika masih muda, maka ilmunya itu ibarat ukiran pada batu. Dan sesiapa yang belajar ilmu setelah usia tua, maka keadaannya seperti menulis di atas permukaan air.” – (HR Ibnu Abd Al-Barr). Begitu juga sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang membesar dalam keadaan menuntut ilmu dan beribadah sehingga dewasa, Allah SWT akan memberikannya pada hari kiamat ganjaran sebanyak 72 orang siddiq.” (HR Ibnu Abd Al-Barr)

Pedoman daripada hadis-hadis yang disebutkan memaparkan pendidikan Islam yang sebenar bagaimana kaedah Islam dalam mendidik kanak-kanak. Hadis-hadis ini juga sesuai untuk diperhatikan maksudnya dan dipraktikkan kandunganya pada zaman sekarang, zaman yang penuh cabaran semasa yang pelbagai, khususnya kanak-kanak kita pada masa kini yang sedang membesar supaya dibesarkan dalam didikan yang baik yang sesuai dengan kehendal Allah SWT dan rasul-Nya.

Penulis Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top