KUALA LUMPUR – Pendekatan turun padang Agrobank menerusi program libat urus di pasar tani seluruh negara dan Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur menghasilkan potensi permohonan pembiayaan mikro bernilai kira-kira RM13.5 juta.
Pencapaian itu mencerminkan sambutan positif dalam kalangan usahawan terhadap kemudahan pembiayaan ditawarkan Agrobank bagi menyokong operasi dan perkembangan perniagaan mereka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pendekatan secara langsung dengan komuniti usahawan penting bagi membolehkan Agrobank memahami cabaran sebenar yang dihadapi dalam menjalankan perniagaan.
“Setiap usahawan mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza mengikut skala serta tahap perkembangan perniagaan.
“Melalui sesi seperti ini, Agrobank dapat mendengar sendiri keperluan mereka dan berkongsi pilihan kewangan serta perkhidmatan yang sesuai untuk membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Menerusi Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur, Agrobank secara khusus merekodkan potensi pembiayaan mikro bernilai RM600,000, selain penyertaan Takaful Kasih Plus dengan jumlah perlindungan sehingga RM1.09 juta
Sebelum itu, Agrobank mendekati pelanggan dan komuniti usahawan melalui penyertaan dalam Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha memahami keperluan perniagaan usahawan dan memperkenalkan kemudahan kewangan bersesuaian.
Fiesta berkenaan turut disertai 10 organisasi terdiri daripada institusi kewangan dan agensi yang menyediakan pelbagai maklumat, khidmat nasihat serta perkhidmatan kepada pengunjung.
Sepanjang fiesta itu, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan Agrobank, termasuk kemudahan pembiayaan untuk usahawan, pembukaan akaun serta penggunaan DuitNow QR bagi memudahkan urusan transaksi tanpa tunai.
Penyertaan Agrobank dalam Fiesta Pasar Malam Kuala Lumpur mencerminkan usaha berterusan bank itu dalam mendekati komuniti perniagaan setempat dan memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan bagi menyokong pertumbuhan usahawan secara lebih mampan.