Kuala Lumpur: Malaysia kini melangkah ke fasa baharu pendidikan melalui pengenalan pendekatan Pendidikan 5.0, sejajar dengan Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0) yang menekankan keseimbangan antara teknologi canggih dan nilai kemanusiaan. Dalam konteks ini, peranan guru berubah secara signifikan. Mereka bukan lagi sekadar penyampai ilmu, malah berfungsi sebagai fasilitator, mentor, dan pencetus inovasi dalam bilik darjah digital.
IR 5.0 tidak memansuhkan keperluan terhadap guru, malah memperkasakannya. Dengan kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR), dan Internet Kebendaan (IoT), guru memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar menggunakan teknologi dengan bijak sambil menanamkan nilai murni, empati dan pemikiran kritikal. Justeru, profesion perguruan kekal relevan kerana tiada teknologi dapat menggantikan sepenuhnya aspek kemanusiaan dalam pendidikan.
Rasional Profesion Perguruan dalam IR 5.0
Gabungan Teknologi dan Kemanusiaan.
IR 5.0 menekankan pendekatan berpusatkan manusia. Walaupun teknologi seperti AI digunakan secara meluas, guru tetap diperlukan untuk memupuk nilai, empati, etika dan pemikiran kritikal yang tidak boleh diajar oleh mesin. Guru memainkan peranan penting dalam membentuk insan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
Guru sebagai Pembimbing dan Pemudah Cara
Dalam bilik darjah era digital, guru tidak lagi hanya menyampaikan maklumat, tetapi menjadi fasilitator yang membimbing pelajar menavigasi maklumat, belajar secara kendiri dan bekerjasama dalam kumpulan. Guru juga membantu mengaitkan ilmu dengan situasi sebenar kehidupan.
Memperkasa Literasi Digital dan Etika Siber
Penggunaan teknologi memerlukan bimbingan agar tidak disalah guna. Guru berperanan membentuk kesedaran dalam kalangan pelajar tentang penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab, termasuklah keselamatan data dan maklumat.
Pemangkin Inovasi dalam Pendidikan
Guru berpeluang menjadi agen perubahan dengan meneroka dan mengaplikasikan kaedah pengajaran baharu seperti pembelajaran teradun (blended learning), penggunaan realiti maya, serta analisis data pembelajaran untuk meningkatkan keberkesanan PdPc.
“Cabaran dan Inisiatif guru dalam menghadapi Pendidikan IR 5.0″
Namun begitu, transformasi ini bukan tanpa cabaran. Guru kini berdepan dengan beban kerja yang lebih kompleks, keperluan latihan teknologi terkini dan jurang digital yang masih wujud antara sekolah bandar dan luar bandar. Terdapat kebimbangan bahawa tanpa sokongan yang mencukupi, guru akan tertekan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pendidikan baharu.
Sebagai tindak balas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk memperluas latihan profesional guru, memperkukuh infrastruktur digital dan memperkenalkan kurikulum adaptif yang menyokong pendekatan berasaskan projek dan inovasi.
Tular juga kini, KPM memberi enam inisiatif kepada guru dan salah satunya, menghantar guru cemerlang ke luar Negara. Ini juga merupakan salah satu inisiatif terbaik. Selain itu, sokongan kesejahteraan emosi guru turut diperkasa melalui komuniti pembelajaran profesional (PLC) yang membolehkan guru berkongsi strategi dan amalan terbaik.
Pelbagai pihak termasuk KPM, kesatuan guru dan kerajaan negeri turut menyuarakan sokongan terhadap perubahan ini. Menteri Pendidikan menegaskan pentingnya kerjasama strategik, manakala pemimpin negeri mengingatkan bahawa penguasaan teknologi oleh guru adalah asas dalam mendidik generasi digital.
Namun, menurut beberapa persatuan guru, keberkesanan pelaksanaan IR 5.0 perlu diteliti semula di peringkat akar umbi. Jurang capaian dan kekangan masa menjadi isu utama dalam memastikan semua guru dapat beradaptasi secara adil. Justeru, sebarang perubahan perlu disokong dengan sumber dan sokongan yang konsisten agar matlamat IR 5.0 dapat direalisasikan tanpa mengorbankan kesejahteraan guru dan kualiti pendidikan.
Kesimpulannya, walaupun IR 5.0 membawa perubahan besar dalam dunia pendidikan, profesion perguruan tidak tergugat. Sebaliknya, guru kekal sebagai tunjang utama dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga tinggi nilai kemanusiaan, menjadikan mereka ejen perubahan yang paling penting dalam era digital ini.
Oleh: Nasyitah Radhwa binti A.zani dan Dr Mohd Mokhzani Ibrahim