Pendidikan kekeluargaan perlu diperkasa sebagai asas pembinaan negara – PM

Pendidikan kekeluargaan perlu diperkasa sebagai asas pembinaan negara – PM

Ipoh: Semua pihak perlu memperkasakan pendidikan kekeluargaan sebagai asas pembinaan negara, selaras dengan pelancaran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kemajuan ekonomi yang dicapai ketika ini tidak seharusnya meminggirkan peranan institusi keluarga, yang juga tunjang utama dalam pembentukan nilai, akhlak dan perpaduan masyarakat.

Anwar berkata pembentukan nilai dan akhlak perlu bermula dari rumah melalui didikan awal, dan ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab mencurahkan kasih sayang, tetapi juga perlu menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak.

“Sebab itu, saya menyokong dan memberikan segala dorongan kepada menteri dan kementerian untuk fokus dalam membangunkan keluarga yang sihat dan murni dan DKKN ini satu peringatan kepada kita.

“Dalam kita sibuk mencari dana dan membina kekuatan negara dengan segala kecanggihan, sistem pendidikan dan kemudahan baharu, jangan kita remehkan atau tinggalkan asas pendidikan keluarga serta kasih sayang sebagai pangkal dan asas,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran DKKN dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR), di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar juga menegaskan bahawa keamanan dan tadbir urus yang bersih ialah syarat penting bagi memastikan negara terus mencatatkan prestasi ekonomi yang baik.

Beliau berkata negara mampu bangkit dan mencapai potensi terbaik sekiranya amalan mencuri harta rakyat serta rasuah dihentikan sepenuhnya.

“Kita boleh bangkit. Malaysia ini mempunyai potensi yang sangat baik. Di ASEAN ini, lihat potensi ekonomi Malaysia catat antara terbaik dan ringgit prestasinya terbaik di seluruh Asia.

“Jadi, sebab itu kita harus mempertahankan (prestasi), jangan kita terbawa-bawa dengan masalah, bergaduh yang memecah belahkan antara kaum,” kata Perdana Menteri.

Pada majlis itu, Anwar merasmikan DKKN, yang melambangkan komitmen kerajaan untuk memastikan keluarga Malaysia terus kukuh, berdaya tahan dan dilindungi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

DKKN digerakkan melalui lima teras strategik, antaranya bertujuan memartabatkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan keupayaan perancangan keluarga, serta meningkatkan kemampuan dan kualiti keibubapaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top