Pendidikan Masa Depan: Mewujudkan Generasi Holistik Melalui Keseimbangan

Kuala Lumpur: Dalam era persaingan akademik yang kian mencabar, pelajar sering terperangkap dalam bebanan silibus yang padat serta tekanan untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Namun, kejayaan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui gred pencapaian akademik. Pendidikan yang holistik memerlukan keseimbangan antara pencapaian akademik dan penglibatan dalam aktiviti luar kelas serta komuniti.

Terlalu banyak memberi tumpuan kepada pencapaian peperiksaan boleh mengabaikan aspek penting pembangunan diri pelajar di luar bilik darjah. Aktiviti luar kelas tidak hanya berfungsi untuk mengurangkan tekanan akademik, tetapi juga membina kemahiran sosial, kepimpinan, dan jati diri yang lebih kukuh. Dengan keseimbangan ini, pelajar mampu menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih matang dan bersedia untuk memberi bakti dalam masyarakat. Sebaliknya, mereka yang hanya fokus kepada peperiksaan berisiko mempunyai banyak kekurangan dalam kemahiran insaniah yang diperlukan dalam dunia korporat pada masa depan.

Pendidikan seharusnya berfungsi sebagai platform untuk membentuk individu yang mampu menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. Memberi lebih banyak ruang kepada pelajar untuk terlibat dalam aktiviti luar kelas dan program kemasyarakatan bukan sahaja membina kecemerlangan akademik tetapi juga menyuburkan perkembangan karakter anak muda. Pendekatan ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, yang menekankan pentingnya pendidikan inklusif untuk pembangunan diri secara menyeluruh.

Penglibatan dalam aktiviti komuniti dan khidmat masyarakat juga menyokong SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan. Pelajar yang terlibat dalam program luar bilik darjah, seperti khidmat masyarakat, akan lebih menyedari peranan mereka dalam mencipta komuniti yang lebih mampan dan harmoni. Melalui program khidmat masyarakat, mereka dapat memahami isu-isu sosial dengan lebih mendalam dan belajar untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Ini akan membantu mereka membina empati dan keupayaan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat di masa hadapan.

Dalam perbincangan hangat mengenai pemansuhan UPSR dan PT3, pelbagai pandangan timbul, terutama berkaitan dengan beban silibus yang dianggap terlalu padat. Ramai ibu bapa dan guru sependapat bahawa tekanan yang dihadapi pelajar bukan berpunca daripada peperiksaan itu sendiri, tetapi lebih kepada silibus yang berlebihan. Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak mempunyai cukup masa untuk menguasai setiap topik dengan baik sebelum beralih ke topik yang baru.

Pengurangan beban silibus boleh membuka ruang bagi pelajar untuk lebih terlibat dalam aktiviti ko-kurikulum dan komuniti. Dengan masa yang lebih fleksibel, mereka dapat membina kemahiran insaniah yang penting untuk masa depan. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang aktif dalam aktiviti ko-kurikulum lebih berkeyakinan, mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah dengan baik, dan lebih mudah bekerjasama dalam kumpulan di mana kemahiran ini yang tidak dapat diperoleh hanya melalui buku teks.

Keseimbangan antara akademik dan aktiviti luar kelas adalah kunci untuk memastikan pelajar dapat berkembang secara menyeluruh. Memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam kedua-dua bidang bukan sahaja melahirkan generasi yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga dalam kehidupan bermasyarakat. Ini juga membantu negara mencapai SDG dan ESG yang lebih mampan, serta melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam pasaran pekerjaan dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Secara keseluruhannya, masa depan generasi muda di Malaysia memerlukan perhatian lebih mendalam daripada semua pihak, terutamanya dalam aspek pendidikan, teknologi, kesihatan mental, dan ekonomi. Pihak kerajaan, sekolah, ibu bapa, dan masyarakat disarankan untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan murid-murid mendapat sokongan serta keyakinan untuk menghadapi cabaran di masa hadapan.

Maklumat penulis:
Nurul Nadiah Ahmad
Pensyarah Kanan,
Universiti Tenaga Nasional, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

Scroll to Top