Pendidikan tasawuf perlu diperjuang untuk kembalikan nilai kemanusiaan – Fadillah

Pendidikan tasawuf perlu diperjuang untuk kembalikan nilai kemanusiaan – Fadillah

am@hmetro.com.my

Kuching: Golongan pendidik disaran melihat semula kedudukan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek tauhid dan fiqah malah tasawuf yang berperanan membentuk roh serta nilai kemanusiaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tasawuf sering disalah tafsir hingga menyebabkan masyarakat menjarakkan diri daripada nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada pembinaan insan seimbang.

Justeru katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat kembali dan merangka semula kurikulum ataupun silibus pengajaran dengan menjadikan ilmu tasawuf sebagai salah satu tumpuan.

Menurutnya, ini masa yang sesuai memperjuangkan pendidikan tasawuf bagi memperkukuh nilai kemanusiaan dalam masyarakat disebabkan cabaran pada masa kini dengan kemajuan pantas teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI).

“Kita bukan sahaja mahu melihat pendidikan Islam menekankan tauhid dan fiqah, tetapi tasawuf juga perlu diperjuangkan untuk membangkitkan kembali roh manusia itu sendiri,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Zon Sarawak 2025 di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Seminar diadakan bagi memperingati dan menghargai sumbangan Allahyarham Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam bentuk idea dan pemikiran kritis semasa hayatnya terutamanya dalam konteks perpaduan masyarakat majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Fadillah berkata, cabaran utama yang dihadapi masyarakat masa kini ialah kehilangan nilai kemanusiaan, integriti dan moral yang berpunca daripada pengabaian pendidikan berasaskan tasawuf.

“Dulu kita ada pendidikan sivik dan moral yang kini seolah-olah diketepikan. Sebab itu nilai kemanusiaan semakin terhakis.

“Tasawuf perlu dilihat bukan sebagai cabang asing dalam agama, tetapi sebagai tunjang yang menentukan keseimbangan insan,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia MADANI tanggungjawab membina negara bukan sahaja tertumpu kepada kemajuan fizikal, tetapi turut membabitkan pembinaan jiwa dan nilai bangsa.

“Kita perlu kembali kepada asas iaitu memanusiakan manusia, menjadikan ilmu sebagai cahaya dan nilai sebagai panduan.

“Saya berharap usaha mengangkat kembali pendidikan tasawuf dalam sistem pendidikan akan menjadi langkah penting mengembalikan kegemilangan Islam serta memperkukuh nilai kemanusiaan dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top