KULIM – Pendirian UMNO untuk meneruskan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya sudah diputuskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persefahaman itu turut dimeterai melalui perjanjian bertulis sebelum ini.
“Saya yang ikut membidani kelahiran Kerajaan Perpaduan seawal November 2022, sejurus lepas keputusan pilihan raya, saya tahu bahawa secara dokumennya, kita telah memeterai satu persefahaman, perjanjian persefahaman bertulis untuk kita bekerjasama sehingga habis penggal.
“Jadi apabila Presiden UMNO menyebut di dalam sidang medianya pada akhir penutup semalam bahawa dia akan berpegang kepada komitmen itu, itu bukan satu perkara baharu pada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan projek bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga penghujung penggal pentadbiran selaras dengan resolusi yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menurut Saifuddin, keputusan itu bertepatan kerana kerajaan ketika ini boleh menumpukan sepenuhnya kepada usaha memakmurkan ekonomi negara sekali gus memastikan limpahan manfaatnya dirasai rakyat.
“Jadi atas rasional bahawa kerajaan ini perlu dipertahankan dari sudut kestabilan politik supaya kita boleh tumpu untuk menguruskan ekonomi dan rakyat mendapat manfaat, saya fikir itu keputusan yang baik dan kita alu-alukan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau mengakui biarpun terdapat perbezaan pandangan membabitkan beberapa isu politik antara parti, keadaan itu tidak menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Masing-masing serang itu lumrah dalam politik. Saya setuju, saya sampaikan. Dia tak setuju, dia macam itu. Itu biasa. Itu warna-warni politik. Yang paling penting ialah Presiden dia (UMNO) menyebut dengan jelas akan kekal seperti mana komitmen yang dimeterai dalam perjanjian bertulis seawal pembentukan Kerajaan Perpaduan itu.
“Kita pegang yang itu dulu, adapun serangan-serangan biasa itu, saya tak anggap sebagai menjejaskan kestabilan,” katanya.