Penduduk 3 daerah di Kedah dinasihat berwaspada ramalan air pasang besar

Penduduk 3 daerah di Kedah dinasihat berwaspada ramalan air pasang besar

Alor Setar: Penduduk di tiga daerah di negeri ini iaitu Kota Setar, Langkawi dan Kuala Muda serta yang tinggal di kawasan pesisir pantai Kedah dinasihatkan supaya berwaspada susulan ramalan kejadian air pasang besar yang dijangka berlaku pada 18 hingga 19 April ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataannya sebelum ini sudah mengeluarkan amaran awal melalui platform media sosial berhubung fenomena berkenaan, bagi memastikan penduduk khususnya di kawasan berisiko dapat membuat persediaan sewajarnya.

Beliau berkata, fenomena air pasang besar itu adalah kejadian semula jadi yang berlaku setiap tahun, namun penduduk yang tinggal berhampiran pantai dan kawasan rendah perlu lebih peka terhadap perubahan paras air.

“Dalam tempoh itu, air pasang dijangka berlaku pada awal pagi dan awal petang dengan ketinggian mencecah sehingga 3.4 meter.

“Risiko banjir dijangka meningkat sekiranya air pasang tinggi ini berlaku serentak dengan hujan lebat serta angin kencang, sekali gus boleh menyebabkan limpahan air ke kawasan penempatan berhampiran.

“Antara daerah yang dikenal pasti berpotensi terjejas ialah Langkawi, Kota Setar dan Kuala Muda, ” katanya ketika ditemui di pejabat APM Kedah di sini, hari ini.

Mohd Bukhori berkata, di Pulau Langkawi, kawasan sekitar Teluk Ewa dan Kuah dijangka terkesan, manakala di Kota Setar membabitkan Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra serta Taman Sri Pantai.

Katanya, bagi daerah Kuala Muda pula, beberapa kampung dikenal pasti berisiko termasuk Kampung Kepala Tanjung, Kampung Bukit Kechik, Kampung Tukang Jusoh, Kampung Paya, Kampung Sungai Meriam, Kampung Sungai Yu dan Kampung Huma.

Sementara itu katanya, APM Kedah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku susulan ramalan air pasang besar ini.

Menurutnya, pemantauan berterusan sedang dilakukan di kawasan ‘hot spot,’ selain aset dan anggota sudah pun disusun atur bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku banjir.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, memantau perkembangan cuaca semasa serta segera berpindah ke kawasan lebih selamat sekiranya diarahkan berbuat demikian.

“Kalau boleh elak melakukan aktiviti berhampiran pantai pada waktu itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top