Banda Aceh: Menteri Dalam Negeri (Mendagri), Tito Karnavian memberi kebenaran kepada kerajaan Aceh dan penduduknya untuk memanfaatkan kayu yang hanyut dibawa banjir serta tanah runtuh di wilayah itu baru-baru ini, lapor Kompas.
Kayu berkenaan dibenarkan digunakan secara sah bagi mempercepat proses pemulihan dan menangani impak bencana hidrometeorologi di kawasan masing-masing.
Tito berkata, material kayu itu boleh diambil dan diolah selagi tujuannya jelas untuk keperluan mendesak masyarakat yang terkesan akibat bencana.
“Kayu yang hanyut dibawa banjir dan tanah runtuh boleh digunakan selagi tujuannya untuk keperluan mitigasi bencana,” katanya pada mesyuarat pemulihan pascabencana Aceh di sini, pada Sabtu.
Mesyuarat itu turut dihadiri Wakil Gabenor Aceh, Fadhlullah; Setiausaha Daerah (Sekda) Aceh, M Nasir serta ketua daerah dari 23 kabupaten dan kota.
Tito menjelaskan bahawa pihaknya memberikan kuasa penuh kepada bupati dan wali kota untuk mengelola pemanfaatan material kayu itu.
Katanya, sisa kayu pascabencana itu akan diberikan khusus bagi mempercepat proses pemulihan infrastruktur penduduk yang terjejas.
Kayu berkenaan akan dijadikan bahan utama dalam pembinaan kediaman sementara dan tetap bagi mangsa yang terpaksa berpindah atau kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.
Selain itu, ia juga akan digunakan untuk membina kemudahan perhubungan termasuk jambatan darurat serta pembaikan pelbagai fasiliti awam.
Meskipun memberi kelonggaran, Tito menyedari wujud potensi risiko hukum berkaitan pemanfaatan hasil hutan tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa.
Katanya, kementerian akan menjalankan kajian mendalam mengenai perkara terbabit supaya ketua daerah mempunyai asas undang-undang yang kuat dan tidak berdepan tindakan undang-undang pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




