Penduduk Bukit Damansara bantah rumah dijadikan premis arak

Penduduk Bukit Damansara bantah rumah dijadikan premis arak

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik sebuah unit kediaman di Jalan Setiakasih 6, Bukit Damansara, di sini menimbulkan kemarahan penduduk kerana didakwa menukar status rumahnya kepada premis minuman keras.

Penduduk, Dr Barkeh Hanim Jumaat mendakwa, perkara itu hanya diketahui selepas penduduk terlihat notis permohonan menjual minuman keras melalui Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditampal oleh pemilik di dinding kediaman itu pada Ahad lalu.

Menurutnya, penduduk menentang tindakan pemilik rumah itu kerana bimbang aktiviti penjualan minuman beralkohol berisiko menggugat keharmonian di kawasan kejiranan itu.

“Ketika ini, kediaman itu sedang menjalani pengubahsuaian secara besar-besaran.

“Kami membantah sekeras-kerasnya kerana kami tidak rela kawasan perumahan kami dijadikan seperti apa yang berlaku di Bangsar.

“Adakah sebuah pub akan naik di kawasan perumahan kami? Itu yang menghantui pemikiran kami,” katanya kepada pemberita di Pusat Komuniti Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, doktor perubatan itu berkata, penduduk sudah memulakan proses bantahan dengan mengumpul tandatangan dan menghantar surat bantahan melalui serahan tangan kepada Pengerusi Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, salinan bantahan itu turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Penduduk Kawasan Setiakasih (Perkasih), Zuhairah Ali.

Beliau berkata, pihaknya menuntut jawapan daripasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung status kediaman berkenaan.

“Persoalannya, apa status rumah itu? Adakah sudah diberi status komersial kerana terdapat nitis pemberitahuan permohonan untuk menjual minuman keras. Kami nak penjelasan daripada DBKL.

“Ini adalah kawasan perumahan. Sekiranya nak buka premis komersial, banyak lagi bangunan-bangunan komersial lain yang ada di Bukit Damansara, Plaza Damansara dan sebagainya. Kenapa perlu buat di kawasan perumahan?” soalnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top