Penduduk cadang kediaman Sudirman dibina semula, dijadikan galeri

Penduduk cadang kediaman Sudirman dibina semula, dijadikan galeri

am@hmetro.com.my

Temerloh: Selepas lebih tiga dekad pemergiannya, ramai peminat sanggup berkunjung ke Kampung Tok Embun di sini untuk melihat rumah penyanyi tersohor negara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Malangnya mereka hampa kerana dimaklumkan penduduk setempat, rumah terbabit sudah roboh dan sekitar tapak kediaman itu dipenuhi semak.

Tinjauan mendapati hanya ada beberapa pelapik tiang dan sisa tangga batu di tapak kediaman itu selain laluan ke rumah berkenaan dipenuhi semak.

Penduduk kampung terbabit, Mira Edora Ahmad Naser, 35, berkata ramai pelancong luar sering datang ke kawasan itu untuk melawat rumah penyanyi berkenaan.

Menurutnya, pelancong kerap singgah di rumah beliau terletak kira-kira 300 meter dari kediaman Sudirman untuk bertanya lokasi rumah penyanyi berkenaan.

“Saya hanya tunjuk arah rumah Sudirman dan maklum kediaman itu sudah roboh serta tiada penghuni.

“Ramai dalam kalangan mereka kecewa kerana rumah kelahiran penyanyi tersohor itu terbiar dan tidak dibaik pulih.

“Saya sebagai anak jati Temerloh bangga kerana Allahyarham adalah orang di sini tetapi pada masa sama sedih sebab kawasan rumah penyanyi terkenal itu terbiar dan roboh,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nur Arif Bahrin, 33, berkata beliau sedih dengan keadaan rumah penyanyi terkenal yang pernah mengharumkan nama negara itu.

Katanya, disebabkan rumah berkenaan hanya tinggal tapak dan dipenuhi tumbuhan liar ramai penduduk setempat sendiri tidak menyedari kewujudan kediaman itu.

“Walaupun saya duduk di sini tapi saya sendiri sebenarnya tak tahu mana satu rumah Sudirman.

“Cuma saya difahamkan rumah penyanyi itu berada di Kampung Tok Embun dan generasi selepas ini pasti akan melupai asal usul Allahyarham,” katanya.

Bagi Mohd Amirul Hafiz Rahman, 33, kediaman penyanyi itu terbiar amat dikesali dan pihak bertanggungjawab sepatutnya membaik pulih kediaman berkenaan dengan boleh menjadikan ia galeri untuk dikunjungi pelancong.

Katanya, bukan mudah untuk anak kampung seperti Sudirman mengukir nama di persada antarabangsa dan kejayaan itu wajar dihargai.

“Pihak bertanggungjawab sepatutnya baik pulih rumah itu dan kumpul semua rekod kejayaan Allahyarham dan pamerkan untuk tatapan masyarakat khususnya generasi akan datang.

“Kejayaan beliau boleh menjadi motivasi masyarakat khususnya anak muda tetapi sedih pihak yang berkenaan tidak fikir ke arah itu,” katanya.

Sudirman dilahirkan pada 25 Mei 1954 dan meninggal dunia pada 22 Februari 1992 serta disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cenggal, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top