Penduduk China meningkat kepada 1.41 bilion

Penduduk China meningkat kepada 1.41 bilion

BEIJING: Jumlah penduduk China meningkat kepada lebih 1.4 bilion atau peningkatan lima peratus dalam tempoh sedekad.

Banci penduduk 2020 juga menunjukkan kadar kelahiran China menurun secara stabil sejak 2017, walaupun Beijing melonggarkan dasar seorang anak yang dilaksanakan sejak puluhan tahun bagi mencegah krisis demografi.

Pegawai dari Biro Statistik Nasional, Ning Jizhe, berkata data menunjukkan bahawa penduduk China mengekalkan momentum pertumbuhan yang sederhana dalam sedekad yang lalu.

Kenaikan 5.4 peratus dalam 10 tahun berlaku di tengah-tengah kebimbangan bahawa populasi yang semakin tua dan kadar kelahiran yang perlahan menimbulkan krisis demografi yang semakin meningkat bagi negara ini.

China melakukan bancian setiap 10 tahun untuk menentukan pertumbuhan penduduk, corak pergerakan dan trend lain selain data digunakan untuk perancangan dasar kerajaan.

Pada 2016, Beijing mengubah peraturan perancang keluarga membolehkan keluarga mempunyai dua anak berikutan kebimbangan penduduk China yang semakin tua dan tenaga kerja semakin mengecil.

Bagaimanapun dasar berkenaan masih belum tercapai berikutan faktor kegagalan rumah tangga, kos membesarkan anak dan wanita melambatkan tempoh mengandung demi kerjaya.

Pada 2019, China mencatatkan kadar kelahiran paling lambat sejak 1949 iaitu pada kadar 10.48 bagi setiap 1,000 penduduk.

Data awal yang diterbitkan pada Februari lalu menunjukkan kadar kelahiran juga menurun dengan ketara pada 2020, walaupun jumlah kelahiran sebenarnya belum diumumkan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top