Penduduk dakwa pasar malam masih jadi lokasi popular warga Rohingya mengemis

Penduduk dakwa pasar malam masih jadi lokasi popular warga Rohingya mengemis

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pasar malam di sekitar bandar raya ini didakwa masih menjadi sasaran wanita Rohingya bersama ‘anak’ mereka untuk menagih simpati ramai bagi mendapatkan wang secara mudah.

Tinjauan di Pasar Malam Taman Johor Jaya baru-baru ini menemui dua wanita Rohingya yang masing-masing membawa kanak-kanak dipercayai berusia kurang empat tahun, mengemis di lokasi berkenaan.

Penduduk hanya mahu dikenali sebagai Premalatha, 50, berkata, kehadiran warga itu bukan hanya mendatangkan rasa kurang senang orang ramai, malah tindakan mengeksploitasi kanak-kanak disifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, tindakan menggunakan kanak-kanak antara taktik golongan itu untuk meraih simpati orang ramai.

“Apabila mereka bebas untuk mengemis di pasar malam, ia secara tidak langsung memberi ruang kepada golongan lain untuk turut menjalankan kegiatan sama,” katanya.

Sementara itu, pengunjung pasar malam, Rashid, 60, berkata, dia mengesan golongan pengemis warga asing itu akan melakukan kegiatan kira-kira tiga hingga empat jam di tapak pasar malam berkenaan.

“Hampir setiap minggu saya ke sini, saya pernah melihat mereka tiba dan pulang serentak, kami tidak pasti siapa yang membawa mereka ke sini namun hampir setiap minggu mereka menjalankan kegiatan sama.

“Harap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mahupun polis atau persatuan peniaga pasar malam akan memantau isu pengemis ini,” katanya yang turut mendakwa terdapat OKU menjalankan kegiatan serupa.

Sementara itu, Ahli Majlis MBJB, Sam Chong berkata, operasi pernah dijalankan di kawasan pasar malam berkenaan sebanyak dua hingga tiga kali sebelum ini.

“Ketika operasi dijalankan dengan kerjasama polis, golongan itu bertindak melarikan diri, malah mereka juga biasanya kerap mengubah lokasi untuk mengemis bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa,” katanya memberi jaminan untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani kegiatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top