Penduduk dakwa pencemaran bunyi, bau busuk

Penduduk dakwa pencemaran bunyi, bau busuk

SINGAPURA: Penduduk yang tinggal berhampiran bekas tapak Kallang Gasworks, yang akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman, mendakwa menghidu bau beracun dan bunyi bising berterusan dari tapak binaan berkenaan.

Sejak kerja di tapak itu bermula lebih setahun lalu, pelbagai usaha sudah pun dilakukan mereka daripada membeli pembersih udara kepada menghidupkan alat pendingin udara sepanjang hari supaya tidak terjejas oleh bau busuk dan bunyi bising, namun tetap tidak berhasil.

Ada juga yang mendakwa lebih kerap sakit sejak beberapa bulan lalu dan mengalami batuk, hidung dan mata gatal dan penyakit lain, menurut agensi berita Mediacorp.

Sekumpulan penduduk turut membuka akaun di Facebook dikenali “Smelly Air from old Kallang Gasworks site” atau “Udara Busuk dari bekas tapak Kallang Gasworks” untuk menggesa pihak berkuasa memandang serius hal itu.

Beberapa penduduk di situ mendakwa, mereka terjejas oleh asap dari tapak binaan itu sejak Februari tahun lalu apabila kerja pemulihan bermula.

Mereka juga mengalami simptom seperti selesema, batuk, mual dan kesukaran untuk bernafas, selain penduduk juga terjejas setiap waktu oleh bunyi bising.

Seorang jurucakap Penguasa Tanah Singapura (SLA) berkata, bau busuk yang sekali-sekala dihidu boleh dijangkakan sepanjang tempoh kerja pemulihan dijalankan, seperti di mana-mana tapak binaan yang lain.

“Gas yang dikeluarkan dirawat dan tidak membawa sebarang risiko kesihatan kepada penduduk yang bekerja dan tinggal di sekitar kawasan itu.

Meskipun begitu, dalam jawapan kepada 139 laporan yang diterima dari orang awam antara Februari dengan Jun tahun lalu, pihak berkuasa mengambil langkah bagi mengurangkan bau dan bunyi bising dari tapak binaan berkenaan.

Bagi mengurangkan bunyi bising, SLA menggantikan jana kuasa lama dengan model baharu manakala pelapis kalis bunyi tambahan juga dipasang di sekeliling alat yang mengeluarkan bunyi bising.

Langkah itu dilaksanakan antara 19 Jun dengan 13 Disember tahun lalu apabila kerja pemulihan digantung kerana sekatan COVID-19 pada ketika itu.

Jurucakap SLA itu juga berkata, sejak ia melakukan perubahan itu dan menyambung semula kerja-kerja pada 14 Disember lalu, jumlah aduan yang diterimanya berkurangan kepada 25 kes setakat Khamis lalu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pula dilaporkan berkata, ia menilai bahawa kedua-dua bacaan tahap bunyi bising dan pengeluaran gas dari tapak pemulihan tidak melebihi had kawal selia.

SLA bagaimanapun enggan menyediakan bacaan sebelum langkah-langkah pengawalan dilaksanakan.

Sabtu lalu, SLA mengadakan mesyuarat tertutup selama dua jam bersama lapan penduduk dan ia turut dihadiri wakil NEA, Aecom dan kontraktor binaan Swee Builders.

Dalam mesyuarat itu, SLA memberi penjelasan langkah pengawalan yang diambil bagi menangani isu berkenaan dan penduduk bertanya jika lebih banyak boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah yang berlaku secara berterusan itu.

“Kita memberi jaminan kepada mereka bahawa SLA dan kontraktor kami mengekalkan pemantauan sepanjang waktu bagi memastikan bacaan bunyi bising dan bau terus berada dalam had selamat,” menurut SLA.

Bercakap kepada Mediacorp selepas mesyuarat itu, beberapa penduduk berkata mereka kecewa kerana pihak berkuasa tidak bersedia untuk berkongsi apakah langkah-langkah selanjutnya yang akan diambil untuk memperbaiki situasi tersebut.

Walaupun mereka mengakui pihak berkuasa sudah mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah itu, dan beberapa penambahbaikan boleh dilihat, tetapi mereka masih terjejas oleh busuk bising dan bunyi bising dari tapak itu.

Sementara itu, Penolong Ketua Eksekutif bagi operasi darat di SLA, Thong Wai Lin, berkata rawatan di luar tapak itu memerlukan kawasan penggalian besar dan ini akan menyebabkan lebih banyak tanah terdedah sekali gus menyebabkan bau busuk yang lebih sukar dikawal.

Beliau berkata, proses rawatan tetap akan dijalankan sepanjang waktu bagi mencegah pencemaran antara kawasan yang digali dan tidak digali.

“Trak diperlukan untuk memindahkan tanah yang tercemar dan ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan ini dan bau busuk mungkin akan akan merebak ke kawasan perumahan apabila trak itu berlalu di kawasan tersebut,” katanya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd