am@hmetro.com.my
Baling: Tindakan penduduk yang enggan berpindah walaupun kediaman mereka dinaiki air akibat banjir menyukarkan operasi penyelamatan dilakukan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, hasil pemantauan yang dilakukan sejak semalam mendapati, ada penduduk yang enggan berpindah dan sanggup tinggal di rumah mereka meskipun pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka di daerah ini.
Katanya, penduduk berkenaan memberi alasan banjir yang berlaku disifatkan sebagai arus lalu sahaja.
“Kami menasihatkan mereka supaya berpindah berikutan paras air sungai yang semakin meningkat dan jangan tunggu di saat akhir.
“Anggota kami sentiasa melakukan pemantauan di lokasi yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
“Pemantauan dilakukan kawasan yang berisiko dinaiki air adalah di Kampung Sadik, Kampung Iboi, Kampung Sungai Limau, Dataran Cahaya, Lubuk Pedati, Kampung Padang Setoi dan Tawar.
“Kami sentiasa bersiap sedia sepanjang masa ketika cuaca hujan ketika ini dan akan menggerakkan anggota ke lokasi untuk melakukan penyelamatan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan di Dataran Cahaya, di sini, hari ini.
Hasil tinjauan mendapati, keadaan paras air di Sungai Ketil di Pekan Baling meningkat dan berarus deras.
Setakat ini, Sungai Ketil di Kampung Bongor sudah melepasi tahap bahaya 60.71 meter (m) berbanding 60 m sebelum ini susulan hujan lebat berterusan semalam.
Dalam pada itu, Zulkhairi turut menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan dahulu percutian atau beriadah di kawasan air terjun atau sungai di daerah ini untuk mengelak kejadian tidak diingini.
Katanya, antara lokasi yang berisiko berlakunya kepala air di daerah ini adalah Lata Celak Iboi di Kupang; air terjun Lata Bayu; Lata Baling, Lata Bukit Hijau, Lubuk Badak, Sungai Pam, Lubuk Pedati, Lata Nering, Teratak Simpul dan Kuala Kedua.
“Kalau boleh tangguhkan dahulu ke lokasi peranginan terbabit pada waktu ini demi keselamatan diri dan keluarga.
“Selain itu, saya nasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya mengikut arahan pihak berkuasa supaya berpindah supaya memudahkan kerja penyelamatan dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



