
Penunggang motosikal beratur bagi mengisi minyak di stesen Quezon City, Metro Manila. Foto: AFP
MANILA – Penduduk Filipina berpusu-pusu ke stesen minyak pada Isnin apabila pihak berkuasa menjangkakan kenaikan harga petrol yang dipacu oleh perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Setiausaha Tenaga, Sharon Garin memberitahu jawatankuasa Parlimen bahawa kos bahan api dijangka meningkat antara 17 hingga 24 peso (bersamaan RM1.13 hingga RM1.60) bagi setiap liter minggu ini, selaras dengan lonjakan harga minyak akibat kebimbangan bekalan dari Asia Barat.
Petugas stesen, Enrico Guda, 31, berkata jumlah kenderaan yang dilayani setiap hari meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 1,000 unit apabila pelanggan bergegas mengisi minyak sebelum harga melonjak.
“Barisan ini bermula 24 jam lalu, dari pagi, petang hingga subuh,” katanya.
Pihak polis pula diarahkan untuk memantau stesen petrol di kawasan masing-masing bagi memastikan situasi kekal terkawal. – AFP



