Penduduk Jabalia melarikan diri susulan pengeboman berterusan

Penduduk Jabalia melarikan diri susulan pengeboman berterusan

Gaza: Ramai orang awam terpaksa lari menyelamatkan diri dari pengeboman dan tembakan berskala besar pada Khamis oleh tentera Israel yang mara ke kem pelarian Jabalia di utara Gaza.

Pada masa sama ramai lagi masih terperangkap akibat serangan tentera Israel itu.

“Pengeboman tidak berhenti. Setiap minit terdapat peluru, roket dan tembakan menyasarkan bangunan dan segala yang bergerak”, kata Areej Nasr, 35, memberitahu AFP selepas melarikan diri dari kem Jabalia ke Bandar Gaza pada Khamis.

Beliau berkata, mereka yang cedera dalam serangan tidak dapat diselamatkan.

“Tiada ambulans tiba dan tiada siapa yang membantu mangsa cedera. Terdapat berpuluh-puluh orang dengan pelbagai kesan kecederaan hanya terbaring di atas tanah,” kata Areej.

Tentera Israel, yang mengatakan ia mengepung Jabalia pada hujung minggu, mengeluarkan arahan pemindahan baharu pada Selasa, memberitahu penduduk untuk meninggalkan kem itu dan seluruh daerah Jabalia.

Walaupun sudah setahun serangan dan pertempuran sengit, penganalisis berkata, Hamas sedang berkumpul semula untuk membina kekuatan.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata, pihaknya pada masa ini tidak dapat mengakses kepada mangsa yang cedera dan maut di Jabalia dengan mengatakan akses terlalu rumit dan berbahaya pada masa ini.

“Banyak laporan sampai kepada pasukan kami, tetapi malangnya, kami tidak dapat mengaksesnya, sama ada kerana kawasan itu adalah zon merah atau kerana penjajah Israel menyasarkan kawasan itu”, jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal memberitahu AFP pada Khamis.

Pada Rabu, seorang jurugambar AFP di Jabalia melihat timbunan runtuhan yang menjulang tinggi yang pernah menempatkan bangunan, kini musnah bersepah dengan serpihan harta benda penduduk.

Antara dapat dilihat ialah beberapa orang bergilir-gilir membawa seorang wanita yang cedera di kaki untuk keluar dari kem dengan berjalan kaki.

Tentera Israel pada Khamis berkata, ia menghapuskan lebih 50 pejuang Palestin, termasuk mereka yang melepaskan peluru berpandu antikereta kebal ke arah tentera.

Rejim turut merampas sejumlah besar senjata termasuk AK-47, RPG, dan peluru.

Mahmud berkata, bahawa sekurang-kurangnya 140 orang mati di Jabalia, setakat ini, semasa operasi terbaru Israel di kem itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top