Penduduk Orang Asli berjaga malam halau gajah rosak tanaman

Penduduk Orang Asli berjaga malam halau gajah rosak tanaman

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Kemunculan gajah liar di Kampung Ceranok, Pos Simpor, di sini, menyebabkan penduduk mengambil inisiatif berjaga malam secara bergilir-gilir untuk menjaga keselamatan penduduk kampung sejak dua minggu lalu.

Sejak pertengahan bulan lalu, penduduk mendakwa gajah jantan yang sebelum ini kerap merosakkan tanaman penduduk kini mula berkeliaran di kawasan perkampungan mereka.

Wakil komuniti Pos Simpor, Winson Bah Kuasan, 35, berkata dia bersama penduduk akan bergilir-gilir berjaga malam untuk memantau kemunculan gajah liar di kampung terbabit.

Menurutnya, kehadiran haiwan liar itu membimbangkan soal keselamatan penduduk.

“Malam kelmarin saya bersama lima penduduk berjaga malam untuk memantau kehadiran gajah terbabit dan menghalaunya sebelum ia mula merosakkan tanaman penduduk.

“Kami risau gajah terbabit akan bertindak agresif dan laporan sudah dibuat kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tentang masalah gangguan gajah liar ini,” katanya.

Katanya, penduduk berharap penyelesaian jangka masa panjang dapat dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengatasi masalah ini.

Penduduk, Sarina Hasan, 40, berkata gajah liar terbabit akan masuk ke penempatan mereka sekitar jam 6 petang sehingga tengah malam.

Menurutnya, berikutan itu mereka akan berkurung di dalam rumah selain tidak dapat tidur malam disebabkan bimbang gajah liar terbabit bertindak agresif dan merosakkan rumah penduduk.

“Masalah gangguan gajah liar termasuk merosakkan tanaman sudah berlaku sejak tahun lalu, namun kini ia semakin berani masuk hingga kawasan rumah penduduk

“Kami hidup dalam kebimbangan. Selain risaukan keselamatan, kami juga buntu memikirkan nasib yang hanya bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber makanan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beliau berharap penduduk lebih berhati-hati serta tidak membuat provokasi terhadap gajah liar.

Katanya, sebagai bantuan awal pihaknya sudah mengagihkan bantuan beras bagi membantu penduduk yang terkesan dengan ancaman haiwan liar.

“Saya berharap ada jalan penyelesaian bagi menangani masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan dan sumber makanan penduduk Orang Asli di pedalaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top