suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penduduk Taman Datuk Senu, Sentul, di sini, menzahirkan kebimbangan dan harapan supaya laluan utama yang menjadi nadi pergerakan harian mereka tidak ditutup memandangkan jalan berkenaan sudah digunakan lebih 30 tahun.
Pengerusi Persatuan Kemajuan Masyarakat dan Penduduk Taman Datuk Senu, Mohd Hasnizul Mohd Hassan, 50, berkata, jalan berkenaan adalah laluan utama sejak pembukaan kawasan itu dan digunakan penduduk dari beberapa taman perumahan sekitar.
“Kawasan yang terlibat itu lot tanah persendirian dan tuan tanah buat tuntutan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebab tanah dalam kawasan mereka digunakan sebagai jalan utama.
“Kalau dari asalnya, 30 tahun yang lalu, memang itulah jalan utama masuk ke Taman Datuk Senu.
“Sehingga sekarang, ada lebih kurang lima ke enam kawasan perumahan yang menggunakan jalan ini sebab memang laluan utama dari Jalan Sentul untuk masuk ke Datuk Senu,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Taman Datuk Senu, Parlimen Batu, berkata, notis penutupan jalan itu diterima penduduk baru-baru ini dan dimaklumkan ia akan dilaksanakan pada awal Februari ini.
Menurutnya, jalan berkenaan bukan sahaja menghubungkan Taman Datuk Senu malah turut digunakan penduduk Taman Sentul Jaya, Taman Sentul Murni, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni dan kawasan perumahan lain di sekitarnya.
“Kalau jalan ini ditutup, memang akan jadi masalah besar kepada penduduk sebab laluan alternatif ada, tetapi jauh dan bukan jalan utama.
“Untuk keluar ke Jalan Sentul, penduduk terpaksa guna jalan kampung dan perlu berpusing jauh,” katanya.
Hasnizul berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat dua laluan utama yang terlibat termasuk simpang penting yang menghubungkan jalan masuk ke kawasan perumahan berkenaan.
“Ia melibatkan jalan utama masuk ke Taman Datuk Senu dan juga jalan utama dalam Dato’ Senu,” katanya.
Menurut Hasnizul, penduduk tidak pernah dilibatkan dalam sebarang perbincangan sebelum notis penutupan dikeluarkan.
“Tiada perbincangan dengan pihak persatuan atau komuniti tempatan, perbincangan hanya antara tuan tanah dengan pihak DBKL,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil inisiatif membuat aduan dan perbincangan bersama Ketua Biro Politik UMNO Bahagian Batu Datuk Gulam Muszaffar supaya penutupan jalan itu ditangguhkan sementara isu berkenaan diselesaikan secara rasmi.
Mengulas harapan penduduk, Hasnizul berkata, laluan itu nadi utama pergerakan harian termasuk ke tempat kerja, sekolah, masjid dan kemudahan awam.
“Harapan kami mewakili penduduk, isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan secara aman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap pihak DBKL memberi perhatian serius memandangkan laluan itu sudah digunakan lebih tiga dekad.
“Harapan kami, jalan ini jangan ditutup kerana itulah jalan utama kami sejak 30 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai cadangan penutupan jalan berkenaan dan sebarang tindakan lanjut yang mungkin diambil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




